fbpx
DRAMA Lockdown mula bersiaran menerusi Astro Ria pada 26 Julai.

Lockdown papar garis realiti, duka lara pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI ragam dan kisah suka duka berlaku dalam kalangan masyarakat sepanjang menempuh kehidupan seharian dalam tempoh pandemik ketika ini.

Berinspirasikan daripada realiti tersebut, Astro tampil mempersembahkan sebuah drama baharu berjudul Lockdown dengan penceritaan asal terbitan syarikat produksi U2 Media Sdn. Bhd.

Lockdown memaparkan sebanyak lapan buah kisah menerusi tayangan 10 episod yang diinspirasikan daripada latar sebenar kisah realiti berkenaan situasi sukar yang diharungi masyarakat Malaysia ketika ini.

Cerita asal dan skrip drama Lockdown diilhamkan pengarah prolifik Erma Fatima serta mendapat sentuhan daripada Mohd. Fazli Yahya yang memikul tanggungjawab selaku pengarah.

Penceritaan setiap kisah dalam drama berkenaan menampilkan lakonan penuh emosi 23 barisan pelakon handalan antaranya Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Syafiq Kyle,

Kaka Azraff, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

PELAKON Izzue Islam memegang watak sebagai Rafi dan Kaka Azraff pula selaku Ria.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, pengalaman mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan sehingga kini telah banyak membawa perubahan drastik dalam resam kehidupan rakyat.

Dalam tempoh lebih setahun mematuhi PKP, orang ramai terkesan dengan persekitaran norma baharu yang diperkenalkan, sekali gus menjadikan tahun 2020 dan 2021 sebagai satu tempoh yang cukup sukar untuk ditempuhi.

“Bersesuaian dengan latar masa sekarang, kami berbesar hati membawakan drama terbaharu berjudul Lockdown yang diinspirasikan daripada realiti sebenar kehidupan kita sekarang.

“Kisah-kisah yang dipaparkan dalam drama ini tidak asing bagi semua orang kerana situasi itu sering dikongsikan dalam media sosial dan mendapat liputan meluas laporan media,” katanya.

Biarpun sarat dengan mesej bermakna untuk diteladani, namun drama berkenaan tetap diolah dengan pendekatan santai dan menghiburkan, sekali gus sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

NASKHAH Lockdown diinspirasikan Erma Fatima daripada situasi semasa pandemik.

Realiti seharian

Sementara itu menurut penulis skrip dan cerita asal Lockdown, Erma Fatima pula mengakui bukan satu kerja yang mudah menghimpunkan nama-nama popular dalam naskhah berkenaan.

“Bukan mudah lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik.

“Tetapi saya amat berbesar hati dan gembira dengan komitmen penuh yang diberikan setiap pelakon bagi menjayakan naskhah ini.

“Keserasian yang terjalin antara mereka juga memudahkan urusan pasukan produksi sewaktu di set penggambaran,” katanya.

Pada masa sama, Erma berkata, dia mendapat ilham menulis skrip drama Lockdown selepas melihat keadaan sekeliling yang berlaku termasuk kesannya kepada rakan-rakan dan diri sendiri.

“Kita semua sama-sama melalui proses PKP. Jadi kita tahu dan faham kesakitan tersebut selepas mengikuti laporan berita. Jadi itulah faktor yang mendorong saya menulis skrip drama ini.

“Saya percaya, skrip yang baik adalah penulisan jujur, berlandaskan realiti dan bukannya fiksyen. Itu yang saya lihat depan mata, setiap hari saya akan buat skrip,” katanya.

Drama Lockdown juga kata Erma, cukup dekat dengan jiwa masyarakat kerana menggambarkan situasi sebenar tentang apa yang berlaku dalam realiti kehidupan.

Penggambaran drama berkenaan dilakukan semasa PKP fasa satu ditamatkan di sekitar Kuala Lumpur dalam kawasan tertutup dan mengambil masa selama 24 hari untuk disiapkan.

Drama Lockdown bersiaran dari Isnin hingga Khamis pada pukul 11 malam bermula 26 Julai menerusi saluran Astro Ria.

POPULAR