Bekas pensyarah di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Dr. Abdul Halim Sulaiman menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan ikan bandar raya sewenang-wenangnya ke tasik, sungai dan sebagainya.
Jelasnya, ikan itu boleh mendominasi ekologi akuatik disebabkan sifatnya yang tahan lasak dan mampu hidup dalam persekitaran air kotor.
Sekiranya ia mendominasi sesebuah tempat, dikuatiri memberi kerosakan terhadap perikanan, persekitaran akuatik dan biodiversiti di kawasan berkenaan.
“Ikan ini memakan alga yang ada di dalam sungai sehingga menyebabkan spesies-spesies ikan pupus. Ikan bandar raya juga berperanan sebagai pemangsa kepada larva ikan-ikan di habitat didiami sehingga menjejaskan populasi ikan tempatan seperti keli dan haruan,” jelasnya.”
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
SEJAK awal tahun lalu, Zulazri Yusop, 39, mula berjinak-jinak dengan aktiviti memelihara ikan arowana di dalam sebuah akuarium yang diletakkan di ruang tamu rumahnya.
Ikan hiasan berwarna kuning keemasan itu diberikan oleh rakannya yang merupakan salah seorang penternak dan penjual ikan arowana.
Dia terbuka hati memelihara ikan yang turut dikenali sebagai kelisa emas itu disebabkan rupanya yang elegan selain dikatakan mampu memberi tuah kepada pemiliknya.
Pada peringkat permulaan, bapa kepada dua cahaya mata itu kelihatan cukup bersemangat memelihara ikan tersebut terutamanya dalam aspek penjagaan akuarium dengan membersihkannya seminggu sekali.
Selepas beberapa bulan, Zulazri mula berasa letih dan tidak cukup masa untuk mencuci akuarium bersaiz besar yang didiami ikan arowana tersebut.
Rentetan itu, dia telah berkunjung ke salah sebuah kedai ikan hiasan di Taiping, Perak bagi mengetahui kaedah bagi memastikan akuariumnya sentiasa bersih dalam tempoh lama.
Pemilik premis berkenaan memberi cadangan kepada Zulazri supaya membeli seekor ikan tombot atau lebih dikenali sebagai ‘ikan bandar raya’ untuk dipelihara di dalam akuariumnya bersama arowana.

Ikan bandar raya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus ialah spesies ikan air tawar tropika yang dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Ada pendapat yang mengatakan ikan tersebut berasal dari lembangan Sungai Amazon.
“Saya beli ikan ini ketika bersaiz lapan sentimeter pada harga serendah RM2. Sifat ikan tombot sangat menarik kerana ia memakan alga dan sisa makanan yang terdapat di dalam akuarium terutamanya pada bahagian cermin.
“Ini membolehkan akuarium di rumah saya sentiasa bersih dan airnya jernih. Lepas ada ikan bandar raya ini, saya cuci akuarium sebulan sekali sahaja,” katanya kepada K2.
Berfungsi membersihkan kekotoran di dalam akuarium, ikan ini bagaimanapun tidak sesuai berada dalam perairan umum.
Baru-baru ini, media melaporkan sebilangan kecil nelayan di Johor Bahru mengalami kerugian ekoran pertambahan ikan tombot bersaiz besar yang sering terlekat pada jaring mereka.
Para nelayan di situ memaklumkan kehadiran ikan berkenaan semakin bertambah secara mendadak sejak dua tahun lalu kerana dipercayai dibuang atau dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut sejarah, ikan bandar raya dibawa masuk ke negara ini sejak tahun 1950-an untuk tujuan akuakultur. Ikan berwarna hitam itu mudah dipelihara serta tidak memerlukan banyak pengawasan kerana sifatnya yang pasif dan nokturnal (aktif pada waktu malam).
Bagaimanapun, ramai tidak sedar bahawa ikan bandar raya telah mendominasi beberapa kawasan akuatik tempatan seperti tasik, sungai dan kolam sehingga memberi kesan negatif terhadap ekosistem persekitaran.
Hal tersebut dipercayai berlaku ekoran daripada tindakan tidak bertanggungjawab segelintir peminat ikan hiasan di negara ini yang melepaskan ikan bandar raya ke dalam perairan umum setelah mereka enggan memeliharanya lagi, mungkin kerana saiznya yang kian membesar atau dikhuatiri boleh membahayakan ikan-ikan hiasan yang dipelihara bersama.
Bekas pensyarah di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Dr. Abdul Halim Sulaiman menyarankan orang ramai supaya tidak melepaskan ikan bandar raya sewenang-wenangnya.
Jelasnya, ikan tersebut boleh mendominasi ekologi akuatik di sesebuah kawasan disebabkan sifatnya yang tahan lasak dan mampu hidup dalam persekitaran air kotor.
“Ikan ini juga boleh membiak dengan cepat disebabkan ia bertelur dalam jumlah yang banyak. Ikan bandar raya tidak memerlukan banyak pengawasan dalam tempoh pembesaran,” tegasnya.

Abdul Halim memaklumkan, sekiranya ikan itu telah mendominasi sesebuah tempat, ia dikuatiri memberi kerosakan terhadap perikanan, persekitaran akuatik dan biodiversiti di kawasan berkenaan.
Katanya lagi, ikan bandar raya bersifat omnivor dengan memakan tumbuhan akuatik seperti alga yang sangat diperlukan beberapa spesies haiwan air tawar tempatan untuk hidup.
“Ikan ini memakan alga yang terdapat di dalam sungai sehingga menyebabkan spesies ikan-ikan kecil tempatan tiada makanan dan pupus.
“Ikan bandar raya juga berperanan sebagai pemangsa kepada larva ikan-ikan di habitat didiami sehingga menjejaskan populasi ikan tempatan seperti keli dan haruan,” jelasnya.
Abdul Halim menambah, hasil kajian dilakukan menunjukkan, ikan bandar raya didapati mengorek dasar sungai atau tebing sehingga menyebabkan air di sesuatu kawasan bertukar keruh atau berlaku runtuhan tebing.
Jelasnya, keadaan tersebut berlaku semasa ikan berkulit keras itu mencari makanan di bahagian dasar sungai dan menjalani proses pembiakan.
“Peningkatan populasi ikan ini memberi impak negatif kepada perikanan darat sehingga menjejaskan pendapatan nelayan sungai dengan penurunan stok hidupan akuatik.
“Laporan daripada Jabatan Perikanan menunjukkan kebanjiran ikan bandar raya telah menyebabkan kerugian kepada nelayan sungai terutamanya menerusi kemerosotan hasil tangkapan.
“Ikan ini juga menghadirkan masalah lain kepada nelayan seperti kerosakan pukat dan pertambahan masa bagi membuang ikan semasa aktiviti penangkapan ikan,” katanya.

Pengasas bersama projek konservasi sumber air di UM, Water Warriors, Affan Nasaruddin menasihati orang ramai terutamanya nelayan supaya memainkan peranan sebagai ejen pembersihan.
Katanya, para nelayan boleh memainkan peranan dengan membawa pulang ikan bandar raya yang ditangkap dan tidak sesekali melepaskannya kembali ke dalam perairan umum.
“Salah satu cara mengurangkan populasi ikan bandar raya adalah dengan melupuskannya dengan cara betul misalnya menyerahkannya kepada kedai-kedai ikan hiasan untuk dibiakkan bagi mendapatkan anak-anaknya.
Jangan sesekali melepaskan ikan ini kembali ke perairan kerana akan menyebabkan jumlahnya semakin bertambah.
“Di Indonesia, ikan ini ditangkap dan dimakan bersama bakso. Sebenarnya, ia tidak boleh dimakan pun kerana dibimbangi isinya mengandungi logam berat yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan,” katanya.
Affan berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya melepaskan ikan bandar raya ke perairan tempatan.
“Saya sedar, ramai penternak ikan hiasan tidak sanggup membiarkan ikan bandar raya ini mati begitu sahaja. Jadi, mereka melepaskannya ke dalam perairan umum.
“Tetapi mereka tidak sedar, tindakan itu memberi kesan lebih buruk terhadap ekologi. Jadi, masyarakat perlu sentiasa didedahkan dengan hal ini supaya mereka mempunyai kesedaran dan rasa tanggungjawab,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya gagal dikawal, ia akan memberi kerugian kepada generasi akan datang kerana tidak dapat melihat spesies ikan asli dalam perairan umum negara pada masa depan.














