fbpx
CHONG TECK (kanan) dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas menghadapi tiga pertuduhan memandu secara berbahaya dan merempuh SJR di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Lelaki berbogel rempuh SJR didakwa tiga pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan berhubung perbuatannya memandu secara berbahaya sehingga merempuh sekatan jalan raya (SJR) pada minggu lalu.

Tertuduh, Chew Chong Teck, 45,  membuat pengakuan bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Namun, Nor Mazrinie tidak menerima pengakuan bersalah tersebut dan memerintahkan Chong Teck yang berasal dari Taman Tapai Indah, Marang agar menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi, Johor.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa tidak mematuhi arahan pegawai polis yang memintanya menghentikan kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) Bukit Jong, Kuala Nerus pada pukul 11.30 pagi, 15 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Chong Teck didakwa melakukan khianat terhadap papan tanda, kon dan payung milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di SJR Bukit Jong pada masa dan tarikh sama.

Dia juga didakwa memandu secara gopoh sehingga membahayakan nyawa manusia di lokasi, masa dan tarikh sama.

Kosmo! pada 15 Julai lalu melaporkan, seorang lelaki membuat kecoh memandu kereta Honda City secara berbahaya sejauh kira-kira 43 kilomter dari Bukit Jong hingga Kuala Berang, Hulu Terengganu dalam keadaan berbogel.

Dia yang dipercayai menghidap penyakit mental, Schizophrenia telah merempuh tiga SJR, 13 lampu isyarat dan melanggar tiga kenderaan termasuk menyebabkan seorang kerani perempuan berusia 46 tahun patah bahu kanan di KM 30, Jalan Kuala Terengganu – Bukit Besi berhampiran Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu. – K! ONLINE