fbpx

Disko di balai polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN berkaraoke serta menari, lapan individu termasuk seorang ketua balai polis yang ditahan turut meminum minuman keras dan air ketum. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Tembelang seorang ketua balai bersama tiga anggotanya yang berpesta sambil meneguk minuman keras di bilik khas yang dijadikan sebagai ‘pusat disko’ di sebuah balai polis di Kajang, dekat sini terbongkar selepas diserbu pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, petang kelmarin.

Turut ditahan dalam operasi khas kira-kira pukul 3 petang itu ialah empat wanita awam yang berusia antara 21 hingga 37 tahun.

Ketua balai yang ditahan itu berusia 55 tahun dan berpangkat sub inspektor, manakala tiga anggota lain yang terlibat masing-masing dua berpangkat koperal dan seorang berpangkat koperal sokongan.

Difahamkan, bilik khas ber­kenaan terletak di tingkat 1 balai berkenaan.

Semasa serbuan dilakukan, sebahagian daripada anggota dan wanita berkenaan dikatakan sedang menari dan berka­raoke sambil menikmati minuman keras serta air ketum di dalam bilik gelap yang dipasang lampu warna-warni berputar seperti di sebuah ‘pusat disko’.

Beberapa peralatan turut dirampas antaranya pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio dan mikrofon termasuk botol minuman keras dan lima botol mengan­dungi air ketum.

Pemeriksaan ke atas telefon bimbit salah seorang anggota turut menemukan sembilan gambar lucah miliknya bersama salah seorang wanita terbabit.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad ketika dihubungi Kosmo! berkata, pasukan JIPS membuat serbuan ke balai polis yang berada di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu sekitar pukul 3 petang sejurus menerima maklumat berhubung kegiatan itu.

“Ketika serbuan dijalankan, kesemua individu itu termasuk ketua balai berusia 55 tahun didapati sedang berhibur di dalam sebuah bilik pentadbiran di tingkat satu.

“Kita membuat tangkapan atas maklumat salah laku dan perbuatan anggota polis dan orang awam berhibur itu jelas menyalahi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil tindakan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa,” ujarnya.

Tambah beliau, salah seorang anggota polis telah ditahan reman bagi membantu siasatan, manakala tujuh yang lain dibebaskan dengan ikat jamin polis.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan atau SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI