PETALING – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan segelintir individu yang dicucuk dengan angin dan bukannya vaksin Covid-19 kerana boleh menjejaskan program imuniti kelompok diusahakan kerajaan.
Walaupun hanya beberapa rakaman video yang tular di laman sosial mengenai kejadian itu, namun siapa tahu ia mungkin juga telah berlaku kepada orang lain yang tidak membuat rakaman ketika dicucuk vaksin.
Ekoran beberapa rakaman itu, orang ramai kini resah dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikhuatiri mempunyai agenda tertentu.
Susulan itu, orang ramai menggesa kerajaan supaya membenarkan penerima vaksin merakam video ketika disuntik sebagai salah satu bentuk ketelusan selain mengekang jika ada cubaan untuk melakukan penipuan.
“Petugas tidak perlu takut jika betul-betul buat kerja. Andai kata jadi isu, pihak berwajib boleh teliti semula sama ada petugas ikut prosedur operasi standard (SOP) atau tidak,” cadang seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Once Upon A Time.
Bagi Muhammad Fadli pula, dia mahu setiap proses pemberian vaksin mengikut SOP seperti petugas menunjukkan picagari yang telah diisi dengan vaksin kepada penerima.
“Penerima juga mesti dibenarkan merakam video untuk memastikan vaksin betul-betul disuntik dalam badan,” katanya.
Ada juga pengguna yang mahu siasatan menyeluruh dilakukan kerana dibimbangi wujud sindiket menjual vaksin kepada warga asing walaupun sebenarnya percuma.
Kelmarin, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan telah mengambil tindakan tatatertib ke atas petugas di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah selepas didapati melakukan perbuatan itu pada 17 Julai lalu.
“Kita juga telah membuat laporan polis mengenainya termasuk ke atas dua lagi dakwaan di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre di Kuala Lumpur dan di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor pada 17 dan 18 Julai lalu,” kata CITF dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Mikrobiologi Institut Sains Biologi Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Jasmine Elanie Khairat turut bersetuju dengan saranan itu bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka telah disuntik vaksin.
“Bagaimanapun ia perlu ada hadnya seperti individu dilarang merakam petugas kesihatan yang memberi vaksin.
“Keyakinan ini penting bagi mencapai program imuniti kelompok,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, picagari perlu ditunjuk kepada penerima sebelum dan selepas suntikan dan ia harus dijadikan mandatori di seluruh negara.
Menurut Jasmine, penerima vaksin pula perlu memainkan peranan meminta petugas kesihatan mematuhi SOP tersebut kerana itu hak mereka.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan, Dr. Hanafiah Basirun pula berkata, adalah menjadi satu kesalahan besar sekiranya terdapat penyelewengan dalam pemberian vaksin.
“Petugas kesihatan telah mengangkat sumpah supaya tidak melakukan kecelakaan kepada pesakit.
“Jangan sebab perbuatan segelintir petugas, habis rosak seluruh institusi kesihatan negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi jaminan individu yang terbukti menerima ‘angin’ akan menerima suntikan dos baharu.
“Mereka akan mendapat penjadualan semula untuk disuntik,” ujarnya.-K! ONLINE













