fbpx

Jemaah haji Malaysia berangkat ke Mina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jemaah dalam kumpulan yang ditetapkan menaiki bas berangkat dari Mudzalifah menuju ke Mina hari ini.

PETALING JAYA – Jemaah haji Malaysia yang bermabit di Mudzalifah telah berangkat ke Mina yang menempatkan Kompleks Jamrat untuk ibadat melontar, hari ini.

Bermabit bermaksud perlu berada di Mina sekurang-kurang separuh malam yang menjadi satu daripada wajib haji.

Pembimbing jemaah haji, Ustazah Nur Salimah Md. Hasim berkata, para jemaah dijadualkan berangkat ke Mina pada pukul 5 pagi (10 pagi Malaysia).

“Alhamdulillah sudah luahkan segala-galanya ketika berwukuf Arafah (kelmarin). Malam ini (semalam) pula di Mudzalifah.

“Insya-Allah akan berangkat ke Mina untuk melontar jamrah dan setelah itu maka akan berakhirlah tahalul yang pertama para jemaah haji,” katanya pada sesi penstriman langsung menerusi laman Facebook Makkah Kenangan Terindah hari ini.

Tahalul tahap pertama ditandai dengan gugurnya sebahagian larangan bagi jemaah haji selepas menjalankan dua daripada tiga perkara iaitu bercukur, melontar jamrah al-Kubra dan tawaf rukun dan saie bagi yang belum melakukan saie.

Beliau turut berkongsi, suasana redup diselangi hujan rintik-rintik sekitar dua hingga tiga minit ketika jemaah keluar dari Masjid Namirah di Arafah semalam.

“Mekah sudah lama tidak hujan dengan suhu sekitar 42 hingga 48 darjah Celsius pada waktu siang. Tetapi Alhamdulillah di Arafah sangat redup selepas Subuh hingga tengah hari dan berselang seli dengan titisan hujan yang dirasakan sangat lembut,” ujarnya.

Seorang jemaah Malaysia, Yuhani Ahmad berkata, khutbah Arafah di Masjid Namirah disampaikan Syeikh Dr. Bandar Abdul Aziz Balila yang merupakan seorang daripada imam di Masjidil Haram, Mekah.

“Sekitar 30 minit sebelum masuknya waktu zohor, khutbah Arafah akan disampaikan. Apabila azan berkumandang, para jemaah haji akan bangun melaksanakan solat fardu zohor dan asar berjemaah secara jamak qasar.

“Khutbah semalam juga diterjemahkan ke 10 bahasa antaranya Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Urdu, Farsi, Turki dan lain-lain lagi yang boleh didengari menerusi www.manaratalharamain.gov.sa,” ujarnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI