fbpx
REKAAN hadapan model ini diperkemas dengan penampilan yang lebih moden.

MINI John Cooper Works 3 Door hangatkan sentimen Big Love

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kecemerlangan jenama MINI terus diperkukuh menerusi pengenalan model John Cooper Works (JCW) 3 Door terbaharu yang mula dipasarkan di Malaysia baru-baru ini.

MINI merupakan jenama yang diasaskan di Britain sejak tahun 1969, namun kini dimiliki syarikat automotif Jerman, BMW.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, model tersebut bukanlah asing bagi peminat jentera MINI terutama yang menceburi arena sukan permotoran.

“Nama John Cooper Works (JCW) terus dikagumi di Malaysia, seperti yang dapat disaksikan menerusi kejayaan luar biasa MINI Malaysia pada tahun 2020.

“Dengan pengenalan model baharu ini, kami akan terus menyuntik nafas kepada sentimen Big Love yang dijiwai oleh warga MINIacs (istilah merujuk kepada peminat MINI),” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Turut diperkenalkan bersama-sama JCW 3 Door yang dijual pada harga RM311,259.49 itu ialah JCW Countryman yang berharga RM383,463.07.

JENTERA ini didatangkan dengan bumbung berwarna merah.

MINI JCW 3 Door baharu hadir dengan penampilan yang lebih moden.Wajahnya mempamerkan gril radiator baharu yang bersaiz lebih besar dan berbentuk heksagon.

Turut dinaik taraf pada penampilan jentera ini ialah lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) adaptif yang mana ia dilitupi dengan perumah dalaman baharu berwarna hitam dan rekaan seumpamanya juga boleh dilihat pada lampu belakang.

Sesuai dengan identiti sukan permotorannya, MINI JCW 3 Door baharu juga hadir dengan rongga udara penyejukan bagi memastikan sistem pemanduan dan breknya berada pada suhu yang optimum apabila jentera tersebut dipandu dalam kondisi sporty yang ekstrem.

Panel sisi hadapan serta apron belakangnya diperkemas selain turut didatangkan dengan peresap khas bagi mengoptimumkan aliran udara pada bahagian belakang.

Pembaharuan reka bentuk yang dibuat juga membolehkan kedua-dua paip ekzos kenderaan ini dibingkaikan dengan sempurna.

Ciri kemasan Piano Black menghiasi MINI JCW 3 Door baharu dengan handle pintu, logo MINI serta jata model tersebut dipamerkan dalam warna hitam berkilat.

MINI JCW 3 Door baharu dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo 2.0 liter empat silinder yang dibangunkan menerusi kepakaran JCW dalam bidang perlumbaan kereta.

Ia turut digandingkan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan sekali gus mampu menjana kuasa 231hp dan tork maksimum 320Nm serta berupaya memecut dari titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 6.1 saat.

Jentera ini mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 246 km/j.

BEBERAPA komponen termasuk logo MINI didatangkan dalam warna hitam berkilat yang turut menonjolkan ciri elegan.

Penggunaan bahan api direkodkan pada paras 6.3 liter bagi setiap jarak perjalanan 100 kilometer (km).

Dibangunkan melalui usaha kolaboratif dengan Brembo, sistem brek sport yang melengkapi MINI JCW 3 Door baharu meliputi angkup brek dengan empat piston bercakera yang mempamerkan jata John Cooper Works.

Aspek pengendalian yang lincah di atas dan di luar litar lumba dibekalkan oleh suspensi adaptif dengan teknologi redaman frekuensi selektif, sekali gus menjamin keseimbangan optimum dari segi kelasakan dan keselesaan ketika memandu.

Di bahagian dalam pula, MINI JCW 3 Door didatangkan dengan rekaan stereng baharu serta integrasi rangkaian butang pada permukaan rata.

Di samping itu, MINI JCW 3 Door turut dilengkapi instrumen sentral yang diperbaharui, selain skrin sentuh bersaiz 8.8 inci dalam rekaan panel hitam yang memuatkan sistem operasi baharu dengan paparan grafik lebih moden.

Pemilihan dan kawalan fungsi-fungsi kenderaan ini meliputi program audio, navigasi, komunikasi dan aplikasi kini bersifat lebih intuitif.

Buat julung kalinya juga fungsi Live Widget boleh digunakan dengan menggeselkan jari pada paparan skrin sentuh.

Teknologi panel hitam yang dimiliki turut dimanfaatkan dengan mewujudkan paparan kluster Instrumen Digital bersaiz 5.0 inci yang memperlihatkan pelbagai butiran relevan pemanduan.

Selain itu, para pemilik jentera ini juga bakal disajikan dengan ciri khas bagi suasana ruang dalaman yang dinamakan Colour Worlds.

RUANG dalaman jentera tampak cukup menarik dan penuh kelainan.

Dua mod disediakan iaitu Lounge dan Sports yang akan mewujudkan suasana istimewa ketika memandu menerusi teknologi skrin paparan.

Dalam mod Lounge, permukaan paparan akan menyerlahkan warna-warna biru dan biru firu, manakala mod Sports menyebabkan latar skrin tersebut memancarkan warna merah dan antrasit (efek membara).

MINI JCW 3 Door didatangkan dengan sistem bantuan memandu standard mencakupi ciri bantuan lampu puncak, info had kelajuan, amaran pejalan kaki dengan fungsi brek ringan serta amaran kehadiran objek.

Kedua-dua model juga dilengkapi sistem bantuan parkir yang pertama kali diperkenalkan untuk MINI JCW 3 Door.

MINI JCW 3 Door hadir dengan pilihan warna-warna luaran seperti Rebel Green (hijau), Midnight Black (hitam) serta White Silver (perak).

Menariknya kesemua warna ini juga dipadankan dengan bumbung yang berwarna merah.

Model-model MINI terbaharu itu boleh didapati di semua pusat pengedaran MINI yang bertauliah di seluruh negara mulai 1 Julai lalu.

Bagaimanapun, sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini, rangkaian pusat wakil pengedar ditutup dan para pelanggan digalakkan untuk membuat kunjungan dalam talian www.mini.my.

Setiap model baharu ini juga boleh ditempah secara dalam talian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN