BARU-BARU ini, masyarakat di negara ini melahirkan rasa kurang senang selepas terdapat cadangan supaya tindakan tegas diambil termasuk menggantung persekolahan murid atau pelajar yang tidak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari berturut-turut.
Biarpun banyak pihak terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan pelajar melahirkan rasa kurang senang dengan saranan tersebut, namun jika dilihat daripada perspektif positif, ia sebenarnya satu teguran yang berguna buat golongan pelajar supaya lebih cakna akan pelajaran dan menghadiri sesi PdPR.
Namun, perkara itu perlu diperhalusi hingga ke akar umbi bagi mendapat gambaran sebenar atau permasalahan dihadapi murid terbabit sebelum sebarang tindakan diambil.
Bagi membincangkan lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan di kediamannya baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Ada pihak yang mencadangkan supaya tindakan tegas diambil termasuk menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi PdPR selama tiga hari berturut-turut. Boleh tuan ulas mengenai isu ini?
AZIZEE: Pertamanya, kita kena faham, PdPR yang kita laksanakan adalah satu alternatif kepada sistem konvensional sebelum ini iaitu sesi pembelajaran secara bersemuka.
Akibat pandemik Covid-19, ia telah memberi kesan kepada sistem pendidikan negara. Kita telah melalui PdPR 1.0, PdPR 2.0 dan kini PdPR 3.0.
Pelbagai pengalaman yang dilalui dan kita lihat banyak cabaran dan kekangan dalam melaksanakannya.
Namun, alhamdulillah guru-guru kita cukup berdedikasi dan sanggup meneroka ilmu pengetahuan baharu dalam menghadapi cabaran terkini itu.
Murid-murid juga terpaksa menimba ilmu dan bersedia dengan kaedah ini yang jauh berbeza dengan cara sebelum ini yang mana guru-guru dan murid-murid tidak pernah melalui pedagogi dan kurikulum PdPR.
Dalam hal ini, sudah tentu kita berdepan banyak masalah.
Isu seperti akses capaian internet, ketiadaan peranti, data internet, persekitaran belajar dan sebagainya turut mempengaruhi proses PdPR.
Salah satu masalah yang dihadapi guru dalam menjalankan PdPR adalah masalah ketidakhadiran murid dalam sesi pembelajaran tersebut.
Ini membimbangkan kerana kita tidak mahu ada murid yang ketinggalan dan keciciran pendidikan.
Bagaimanapun saya kurang bersetuju untuk diambil tindakan tegas kepada murid yang tidak mengikuti PdPR.
Sebaliknya kita perlu mengenal pasti punca masalah, cari jalan penyelesaian terbaik dan berkemungkinan murid-murid itu hadapi masalah tersendiri.
Pihak sekolah khususnya perlu peka dan prihatin dalam hal ini.
Kaunselor sekolah boleh membantu menghubungi murid atau ibu bapa dan mencari penyelesaian terbaik dengan pendekatan yang harmoni.
Murid berkenaan mungkin perlu diberikan amaran dan teguran dahulu kemudian disusuli sesi kaunseling serta perbincangan dengan ibu bapa mereka.
Punca dan isu ponteng PdPR perlu dilihat secara holistik.
Gantung mungkin pilihan terakhir jika tiada jalan penyelesaian.
Melihatkan masalah yang berlanjutan, pada pendapat tuan, apakah antara faktor utama yang menyebabkan seseorang murid gagal menghadirkan diri dalam sesi PdPR?
Banyak faktor yang mempengaruhi seseorang murid gagal menghadirkan diri dalam sesi PdPR.
Ia berkait dengan latar belakang pelajar tersebut daripada sudut lokaliti penempatan sama ada bandar atau luar bandar, sosio ekonomi keluarga, pendekatan pengajaran guru dan persekitaran pembelajaran di rumah.
Jika boleh saya nyatakan di sini, murid tersebut mungkin tidak memiliki akses internet dan kemudahan peranti, terpaksa berkongsi alat peranti ketika sesi pembelajaran, suasana belajar yang kurang efektif di rumah, cara pengajaran guru yang kurang menarik serta tiada sokongan ibu bapa.
Paling jelas ia berbalik kepada sikap dan motivasi murid yang rendah untuk mengikuti pembelajaran.
Ini antara perkara yang perlu ditangani segera daripada aspek mental murid dan kemudahan untuk belajar di rumah.

Mungkin tuan boleh kongsikan berapakah peratusan murid yang benar-benar menghadiri PdPR sepanjang ia dijalankan sejak tahun lalu dan adakah ia memuaskan?
Semasa PdPR 1.0, pihak kami pernah menjalankan tinjauan kehadiran murid.
Kami dapati, ketika itu hanya 30 hingga 40 peratus murid-murid yang mengikuti PdPR.
Mungkin pada ketika itu, kaedah ini masih baharu dan semua pihak sedang belajar menyesuaikan diri dengannya.
Berbeza pada hari ini apabila hasilnya semakin baik dan mencapai 70 hingga 80 peratus kehadiran.
Proses pembelajaran di sekolah dan secara dalam talian menerusi PdPR sememangnya memberikan suasana berbeza kepada pelajar. Adakah ini terdapat sebarang impak kepada psikologi anak-anak?
Hal ini kita tidak dapat nafikan, semakin lama tempoh PdPR, semakin memberi impak kepada psikologi murid-murid.
Satu kaji selidik yang dijalankan oleh seorang pakar psikiatri universiti tempatan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah merumuskan, terdapat 43.6 peratus pelajar mengakui PdPR memberi kesan negatif kepada kesihatan mental.
Secara tidak langsung ia menjejaskan motivasi dan minat murid untuk belajar.
Saya pernah sebut dalam kita melaksanakan PdPR, kita perlu ambil kita aspek empati dan emosi murid-murid.
Bukan sahaja psikologi murid-murid, tetapi juga psikologi guru-guru juga penting ketika melaksanakannya.
Apakah pendekatan yang boleh dilakukan bagi memastikan pelajar lebih bersemangat untuk menjalani sesi PdPR?
Dalam hal ini, saya fikir di peringkat sekolah khususnya, barisan pentadbir mengenal pasti punca masalah murid-murid tidak bersemangat untuk mengikuti PdPR.
Jika ia melibatkan soal kemudahan dan data internet, maka peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh membantu dengan menyediakan kemudahan peranti.
Kaunselor sekolah boleh mendapatkan maklumat daripada ibu bapa berkaitan masalah dihadapi murid, manakala guru-guru pula perlu merancang pengajaran dengan lebih baik, kreatif serta mempelbagaikan pendekatan pengajaran mengikut kesesuaian murid sama ada secara online atau offline.
Di pihak kerajaan pula, perlu melunaskan janji pemberian laptop 150,000 kepada murid daripada kategori B40 serta meningkatkan akses capaian internet di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Selain itu, sokongan aspek mental dan spiritual penting untuk memastikan murid-murid dapat mengikuti PdPR dengan baik.
Melihatkan masalah pendidikan anak-anak yang terkesan hampir dua tahun ekoran pandemik, bagaimana tuan melihat nasib generasi akan datang?
Melalui satu kajian bertajuk The State of School Education-One Year Into The Pandemic Covid oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang berpangkalan di Paris, Perancis mendapati, sepanjang lebih setahun pendemik, terdapat 1.5 billion pendidikan kanak-kanak di 188 buah negara terkesan.
Semakin tinggi kes covid, semakin tinggi kes keciciran pendidikan terutama yang menjadi kebimbangan kita anak-anak prasekolah, tahun 1 dan tahun 2.
Jika tidak diatasi sebaik mungkin, kita akan menghadapi generasi yang berdepan masalah 3M (membaca, mengira dan menulis).
Jika tempoh PdPR yang begitu lama dan tidak terancang dengan baik pula, negara berisiko menghadapi isu keciciran murid-murid.

Apakah tindakan atau bentuk bantuan yang wajar diberikan pihak bertanggungjawab kepada murid di negara ini agar masalah ini dapat diatasi, seterusnya memastikan pelajaran anak-anak tidak terjejas?
Antara tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib khususnya Kementerian Pendidikan adalah meningkatkan akses capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Selain itu, segerakan pemberian laptop dan alat peranti kepada murid daripada kategori B40 seperti yang dijanjikan dan utamakan pemberian vaksin kepada golongan pendidik agar sekolah dapat dibuka lebih awal.
Dalam pada itu, Didik TV dengan persembahan yang interaktif juga perlu dimantapkan lagi sebagai alternatif kepada murid-murid yang berhadapan masalah akses capaian internet.
Pada masa sama, keupayaan guru daripada sudut ilmu dan kemahiran pengajaran digital hendaklah dipertingkatkan lagi.
Rata-rata pengguna di media sosial mendakwa, proses PdPR bukan sahaja memberi tekanan kepada pelajar, tetapi juga ibu bapa yang dikatakan dibebani dengan pelbagai tanggungjawab, selain menjadi pengganti guru. Apakah pandangan tuan mengenai perkara ini?
Keberkesanan PdPR bukan sahaja terletak di bahu guru-guru, tetapi juga berkat sokongan daripada ibu bapa di rumah.
Dalam hal ini, PdPR menjadikan ibu bapa sebagai guru kedua murid.
Di sini, kita melihat aspek kemenjadian murid kembali kepada peranan dan fungsi asal ibu bapa itu sendiri. Mahu tidak mahu, ibu bapa perlu menerima hakikat ini, yang akhirnya kembali kepada diri sendiri.
Jika mahukan anak-anak berjaya, kita perlu lakukan yang terbaik untuk mereka.
Kita tidak dapat mengelak berdepan dengan perkara ini, selain bebanan sedia ada termasuk kerjaya, ekonomi dan sebagainya.
Dalam keadaan ini, kolaborasi dan kerjasama semua pihak amat penting dalam menjayakan PdPR.














