fbpx

Tiada larangan kibar bendera putih di Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rashidi (kanan) menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin kepada wakil media pada program Bantuan Bakul Prihatin di Teater Shah Alam, Seksyen 14, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Tiada larangan kepada mana-mana pihak mengibarkan bendera putih di premis atau rumah sebagai tanda meminta bantuan barangan keperluan asas.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan berkata, sebaliknya orang ramai diminta bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menyalurkan bantuan tersebut.

Katanya, setakat ini tiada laporan kes kibaran bendera putih di sekitar Shah Alam diterima pihaknya.

“MBSA sendiri telah mengambil inisiatif bakal mengedarkan 2,700 bakul makanan dengan hari ini sahaja 1,200 diedarkan yang bernilai RM50 setiap satu kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kumpulan sasar itu termasuk operator dan pekerja taska serta tadika selain pekerja hotel dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas membantu MBSA semasa PKP. Turut mendapat manfaat adalah krew produksi seni kreatif, guru sekolah agama persendirian dan swasta serta kumpulan wartawan sambilan dan jurugambar,” katanya selepas menyampaikan barang makanan pada Program Bakul Prihatin MBSA – Rezeki Kasih di Teater Shah Alam hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan pengedaran sebanyak 10,000 bakul makanan dengan setakat ini sebanyak 4,703 bakul makanan telah diedarkan sejak program itu dilancarkan pada Februari lalu.

Ujarnya, antara barangan keperluan disampaikan menerusi bakul makanan itu termasuk beras, milo, bihun, gula kasar, tepung, minyak masak, bijirin oat, susu pekat dan sebagainya.

“MBSA juga telah menyalurkan sumbangan Bakul Prihatin MBSA kepada kakitangan Pusat Pemberian Vaksin Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, kakitangan Pusat Pemberian Vaksin MSU Medical Centre, dan kerjasama bersama Badan Bukan Kerajaan seperti Pertubuhan Ikram Malaysia,” jelasnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI