PUTRAJAYA – Lebih 15,000 pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berada di kampus di tiga zon iaitu Zon Tengah, Utara dan Pantai Timur menerima bantuan Food Bank Siswa sejak Mei lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, agihan Food Bank Siswa itu dijalankan dengan kerjasama Sekretariat Food Bank Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Beliau berkata, Food Bank Siswa diperkenalkan bagi membantu pelajar-pelajar IPT yang berada di kampus.
“Melalui kerjasama ini, proses penghantaran bantuan makanan Food Bank Siswa diselaras oleh universiti peneraju yang dilantik mengikut zon.
“Seterusnya, bantuan kemudian diagihkan oleh sukarelawan di Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, kerjasama itu membolehkan agihan Food Bank Siswa dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berstrategi di IPT.
Noraini berkata, Food Bank Siswa menyasarkan pelajar B40, asnaf, fakir miskin dan berkeperluan sekali gus menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi pelajar supaya mereka lebih fokus terhadap sesi pembelajaran di kampus. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














