fbpx

Premis di 14 lot tapak kebakaran tayar akan dirobohkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loy Sian (kiri) meninjau operasi memadam kebakaran di Jeti Pulau Carey hari ini.

KUALA LANGAT – Kesemua premis di 14 lot tanah berhampiran tapak kebakaran tayar di jeti Pulau Carey, Telok Panglima Garang akan dirobohkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, perobohan itu akan dilakukan selepas kebakaran di lokasi tersebut berjaya dipadam sepenuhnya.

Katanya, hasil semakan turut mendapati, tujuh daripada lot itu telah bertukar status daripada pertanian kepada perindustrian, manakala selebihnya masih belum mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

“Kita telah menyita 14 struktur binaan di lot tanah itu dan semakan mendapati lot-lot itu tidak mendapat KM kerana gagal membayar premium tanah berjumlah kira-kira RM1juta sebelum ini.

“Kesemua struktur binaan di 14 lot itu akan dirobohkan selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya nanti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, “katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja memadam kebakaran olah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Loy Sian memberitahu, kawasan kebakaran itu merupakan tapak gudang bagi menyimpan tayar-tayar terpakai yang diimport dari Australia.

Ujarnya, tayar ini akan dijadikan bahan bakar untuk kilang-kilang kitar semula plastik dan simen di sekitar Langkawi.

“Justeru, kita meminta kerajaan Persekutuan untuk tidak membenarkan import barangan sebegini kerana banyak negara lain tidak menerimanya,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 22(2) (b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kita juga akan mencadangkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Langat untuk mengeluarkan Borang 7A bagi merampas tanah ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 2,000 tan metrik tayar terbakar sehingga menyebabkan pencemaran udara di Telok Panglima Garang pada Sabtu lalu.

Ekoran kebakaran itu telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penduduk apabila mereka mendakwa terpaksa menghidu bau busuk dan asap sehingga mengalami sesak nafas. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI