fbpx
MILLIE berkongsi bandar-bandar kesukaannya menerusi koleksi MBBxVogue Eyewear.

Kaca mata retro rebutan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WALAUPUN kita semua tidak dapat melancong ke luar negara disebabkan dunia masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 pada masa ini, kerinduan itu sedikit terubat dengan adanya koleksi cermin mata yang diinspirasikan dari beberapa bandar raya ikonik dunia.

Bandar raya itu ialah Marbella, Sepanyol; New York dan Los Angeles, Amerika Syarikat serta London, England.

Koleksi itu menampilkan lapan pilihan dengan reka bentuk fesyen yang sangat bercita rasa tinggi untuk dipakai secara santai mahupun bergaya ranggi.

Kesemua koleksi cermin mata MBB X Vogue Eyewear itu diinspirasikan daripada bandar raya kesukaan pelakon, model dan penerbit kelahiran Sepanyol iaitu Millie Bobby Brown.

“Saya sangat teruja untuk berkolaborasi bersama pasukan Vogue Eyewear bagi merealisasikan koleksi cermin mata ini.

“Saya banyak menghabiskan masa di beberapa bandar raya cantik sepanjang kerjaya sebagai anak seni dan suka melancong bagi meneroka budaya serta trend di tempat tersebut,” katanya.

KOLEKSI New York menyuntik gaya masa hadapan dan sentuhan tahun 1960-an.

MBB X Vogue Eyewear dapat kembalikan mood bercuti si pemakai di samping menawarkan rekaan elegan dan menawan.

Bagi koleksi Marbella, ia direka untuk mereka yang berani, feminin dan mempunyai personaliti yang bergaya.

Selain rekaan bingkai yang eksklusif dan unik, Marbella juga didatangkan dengan warna berani seperti ungu, biru, hijau dan merah jambu.

Sementara itu, cermin mata koleksi New York pula membawa suntikan gaya masa depan dan sentuhan cita rasa tahun 1960-an yang tampak sangat kontemporari.

Tidak terhenti di situ, koleksi New York VO5397 membawa suasana bandar yang bertenaga tinggi dan gaya bijaksana.

Justeru, cermin mata tersebut direka dengan gaya futuristik dan retro dengan seleksi pilihan warna yang bercahaya.

Millie berkata, cermin mata koleksi Los Angeles direka dengan gaya asli Hollywood, manakala bingkainya diperbuat daripada palet besi klasik.

CERMIN mata ini direka dengan gaya futuristik dan retro.

“Terdapat dua pilihan saiz untuk bingkai cermin mata ini yang boleh disesuaikan dengan bentuk muka si pemakainya.

“Cermin mata koleksi ini juga diilhamkan daripada gaya juruterbang dan boleh didapati dalam pilihan warna emas, perak atau hitam,” tuturnya.

Akhir sekali, mengetengahkan gaya individualistik, cermin mata koleksi London cukup memukau walaupun menampilkan gaya sederhana dan sesuai untuk semua musim.
Gaya optik berkarisma ringan itu mampu memberikan sentuhan daripada retro hingga moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN