fbpx
Gambar hiasan

KPM umum pengambilan 18,702 guru baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan program pengambilan khas secara one-off melibatkan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di negara ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, iklan pengambilan khas tersebut akan dikeluarkan pada 7 Julai depan dengan penempatan secara berperingkat akan bermula pada Oktober 2021.

“Pengambilan besar-besaran ini adalah usaha KPM untuk mencapai apa yang telah diletakkan dan dirancang di bawah Pelan Pemulihan Negara dengan cabaran utama kita untuk membawa keluar negara dalam konteks Covid-19 dalam sektor pendidikan.

“Justeru dengan pengambilan ini maka kita dapat mengurangkan beban khususnya di sekolah-sekolah yang mengalami masalah kekurangan guru pada waktu ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

Beliau berkata, empat negeri yang berdepan masalah kekurangan guru yang tinggi pada tahun ini ialah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor dengan keutamaan penempatan akan diberi kepada sekolah-sekolah di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pengambilan baharu itu diharap dapat menutup jurang kekurangan guru sedia ada dengan pengambilan akan terus dilakukan pada tahun-tahun mendatang berdasarkan keperluan semasa misalnya untuk mengisi kekosongan guru yang bersara awal atau bersara wajib.

Tambahnya, antara mata pelajaran dengan masalah kekurangan guru yang tinggi melibatkan peringkat sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“Manakala bagi peringkat sekolah menengah melibatkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi,” ujarnya.

Menurutnya, cabaran utama pengambilan guru dilihat berpunca daripada kekurangan calon guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidakpadanan opsyen mata pelajaran tertentu dengan kekosongan semasa.

Beliau berkata, pendekatan baharu akan digunakan dalam pengambilan kali ini iaitu berdasarkan kluster opsyen mata pelajaran selain menerapkan kepelbagaian dalam kaedah pelantikan.

“Selain keutaman akan diberi kepada graduan pendidikan kita juga akan meneliti secara holistik opsyen lain yang boleh dipertimbangkan.

“Hal ini melibatkan kolaborasi strategik melibatkan KPM, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan berhubung kelulusan khas pengisian jawatan dan persetujuan lantikan,” jelasnya. – K! ONLINE

POPULAR