fbpx
GAMBAR HIASAN

Jadi wanita dominan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini kecoh mengenai isu wanita perlu ‘buat bodoh-­bodoh’ sekiranya mahu cepat ber­temu jodoh atau tidak ditinggalkan oleh pasangan.

Walaupun ramai yang tersentap dengan kenyataan itu, ramai juga yang bersetuju tidak kiralah golongan lelaki atau perempuan. Tidak kurang juga yang meng­ingatkan bahawa sememangnya sudah tertulis lelaki adalah pe­mimpin bagi kaum wanita.

Persoalannya, adakah di­sebabkan itu wanita perlu memainkan karakter-karakter ter­tentu untuk mendapat jodoh atau bagi memastikan dirinya tidak ditinggalkan pasangan? Adakah wanita perlu tampak lemah supaya tidak dominan dalam hubungan kerana itu adalah ‘tugas’ lelaki?

Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender, Universiti Sains Malaysia, Prof. Noraida Endut berkata, perbezaan asas antara lelaki dan wanita dari segi biologi dan fisiologi itu tidak bermaksud kita boleh menidakkan satu jantina itu untuk menikmati aspek kehidupan secara saksama.

“Layanan dan pandangan yang berbeza antara lelaki dan wanita ini adalah hasil daripada konstruksi atau interpretasi sosial di mana masyarakat telah memberi tugas kepada wanita dan lelaki itu berasaskan perbezaan fizikal mereka.

“Contoh paling ketara, wanita­ boleh melahirkan anak. Jadi, masyarakat telah meletakkan hampir semua tugas membesarkan anak kepada wanita, ter­masuk memasak dan sebagainya. Sedang­kan perkara itu boleh dibuat juga oleh lelaki,” katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.

Jelasnya, dalam perhubungan atau perkahwinan itu, apa yang wanita dan lelaki mahukan adalah perkara yang sama. Iaitu rasa dihormati, bahagia dan dijaga.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad ketika dihubungi pula berkata, dalam Islam, wanita dan lelaki itu ada banyak persamaan dari segi kemanusiaan, menuntut ilmu dan undang-undang. Yang berbeza cuma fitrah.

“Tidak ada pun sekatan-sekatan tertentu supaya lelaki ini perlu lebih daripada perempuan. Dalam al-Quran mengatakan lelaki­ adalah pemimpin pada wanita, untuk hal-hal memberi nafkah. Itu yang lebihnya lelaki daripada perempuan.

“Suami isteri ini disebutkan dalam hadis adalah ‘rakan kongsi’­ dalam rumah tangga. Jadi, ke­nyataan seolah-olah berkata satu pihak kena menang, satu kena ikut itu, tidak tepat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Islam ada menyebut bahawa perlu setara jika mahu mencari pasa­ngan. Tetapi, paling ditekankan ialah pilihlah pasangan yang mempunyai elemen keagamaan kerana tidak kira tinggi mana kerjaya dan pendidikannya, pasti sifat menghormati sesama pasangan itu ada.

Kesimpulannya, sifat ego perlu­ diturunkan kerana ia mempengaruhi wujudnya perasaan ingin mendominasi.

Buat wanita pula, jadilah diri sendiri dan berusaha menjadi versi terbaik diri kita. Sekiranya sudah berjaya, kita tetap perlu terbuka menerima kritikan ataupun teguran serta boleh menyesuaikan diri dengan situasi.

Paling penting, hormatilah semua orang di sekeliling kita ke­rana itu yang akan membuatkan kehidupan seimbang. -K! ONLINE