fbpx

Tindakan Kabinet nasihat Agong selaras Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tindakan jemaah menteri Kabinet yang menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak adalah wajar dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Penganalisis perundangan dan politik, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, kebelakangan ini timbul pandangan daripada beberapa ahli politik pembangkang serta kerajaan yang mempertikaikan perkara tersebut.

Beliau yang juga Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara berkata, turut ada juga pandangan yang mengatakan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sepatutnya memikul tanggungjawab menasihati YDPA berhubung perkara berkenaan.

“Pandangan itu kurang tepat kerana Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 mengatakan Kabinet beroperasi semasa darurat dan tempoh darurat tidak melupuskan kuasa Kabinet.

“Dalam hal ini Kabinet berjalan seperti biasa menasihati YDPA begitu juga ketua menteri dan exco mereka menasihati sultan atau raja pada peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya, menurut Perkara 40 (1A), jika YDPA dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat atau selepas mempertimbangkan nasihat baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu melainkan dalam perkara yang tertakluk pada budi bicara baginda.

“Ini kerana dalam perlembagaan hanya tiga perkara baginda boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri di bawah Perkara 40 (2) iaitu melantik Perdana Menteri, memperkenankan permintaan membubar Parlimen dan meminta mengadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Beliau berpendapat, perkara tersebut perlu diberi pencerahan supaya tidak ada yang keliru kerana sudah termaktub YDPA perlu bertindak mengikut nasihat Kabinet dan Kabinet tetap beroperasi semasa darurat.

“Ini supaya rakyat tidak keliru kerana ramai orang memberi pandangan di media sosial dan kita tidak mahu ia menimbulkan suasana tegang dalam keadaan negara sedang memerangi Covid-19,” jelasnya.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kabinet bertanggungjawab memberi nasihat kepada YDPA sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI