PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menamatkan nasihat tsunami yang dikeluarkan susulan kejadian gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina pada pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, nasihat tsunami yang dikeluarkan pada pukul 8.36 pagi itu ditamatkan sepenuhnya bermula pukul 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, penamatan tersebut merupakan maklumat terakhir yang dikeluarkan berhubung kejadian gempa bumi berkenaan.
“Ini adalah maklumat terakhir yang dikeluarkan oleh MetMalaysia berkaitan kejadian gempa bumi tersebut melainkan jika terdapat perkembangan lanjut atau maklumat tambahan,” katanya hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan nasihat tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini. – KOSMO! ONLINE














