fbpx
Kumpulan milenial sentiasa mencari peluang untuk bertukar majikan kerana permintaan pasaran terhadap kemahiran dan pengalaman kumpulan tersebut sentiasa meningkat. - Gambar hiasan

Pekerja lebih utamakan gaji dan faedah pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Soal gaji dan faedah pekerjaan merupakan nilai paling utama yang dilihat kakitangan di negara ini pada tahun 2021 dalam mencari majikan yang ideal.

Kajian Jenama Majikan di Malaysia yang diterbitkan agensi penyelesaian sumber manusia, Randstad mendapati, 72 peratus daripada responden di negara ini memilih gaji dan faedah menarik sebagai nilai paling penting dalam mencari majikan, manakala pilihan kedua yang mewakili 69 peratus daripada responden kajian adalah faktor keseimba­ngan kehidupan dan pekerjaan.

Tiga lagi nilai paling penting yang dicari kakitangan untuk membentuk kelompok lima teratas adalah pengurusan kukuh (64 peratus), persekitaran pekerjaan selamat daripada Covid-19 (63 peratus) dan kedudukan kewangan yang sihat (62 peratus).

Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, isu ketidakpadanan dalam soal jangkaan gaji antara kakitangan dan majikan bukanlah satu perkara baharu, namun ia perkara yang paling kompleks untuk diselesaikan.

“Terdapat banyak faktor yang memainkan peranan dalam menentukan pengiraan gaji, antaranya ialah isu berkaitan peningkatan kos sara hidup, ketidakpadanan dalam kemahiran dan pengalaman serta kesaksamaan gender.

“Majikan perlu melaksanakan audit berkala bagi memastikan daya saing serta kesaksamaan dalam soal gaji dan sama ada pelaburan mereka dalam pembangunan kemahiran tenaga kerja mencukupi untuk mengekalkan kakitangan ber­prestasi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kajian yang dibuat setiap tahun itu telah diadakan pada bulan Januari lalu dengan melibatkan seramai 2,523 responden di Malaysia.

Selain itu, hasil kajian Randstad mendapati, sebanyak 23 peratus daripada responden memiliki perancangan untuk bertukar majikan pada tahun ini yang mana golongan milenial merupakan kelompok utama berniat untuk berpindah.

Naeem menjelaskan, sebila­ngan besar pekerja milenial memiliki kemahiran dalam dunia digital, mengetahui trend media sosial terkini dan teruja dengan idea untuk mencuba perkara baharu di syarikat berbeza.

“Oleh kerana banyak syarikat membuat keputusan untuk membawa strategi transformasi digital mereka ke hadapan, maka sekarang adalah masa yang tepat bagi kumpulan milenial me­neroka peluang pekerjaan baharu.

“Bagaimanapun, syarikat yang masih ketinggalan dalam ini­siatif digital, perlu bertindak cepat untuk menarik dan melibatkan lebih ramai generasi pekerja yang lebih muda menyertai mereka,” katanya.

POPULAR