fbpx

267 permohonan rentas negeri, daerah ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JEMPOL – Polis daerah ini menolak sebanyak 267 permohonan rentas negeri dan daerah serta telah mengeluarkan 116 kompaun sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) atau ‘total lockdown’ dari 1 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, antara sebab utama permohonan berkenaan ditolak adalah membabitkan permohonan pasangan jarak jauh (PJJ) yang ditangguh kebenarannya sepanjang perlaksanaan PKP 3.0.

“Polis juga menerima permohonan individu untuk merentas ke destinasi yang merupakan antara kawasan yang telah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tentu sahaja permohonan ini ditolak.

“Selain itu, permohonan melebihi kapasiti dua orang dalam kenderaan selain untuk tujuan perubatan, dokumen tidak lengkap dan alasan tidak kukuh juga ditolak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.

Chang Hook berkata, secara keseluruhannya sepanjang perlaksanaan PKP 2.0/Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)/ Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)/PKP 3.0 dari 19 Januari lalu sehingga 14 Jun, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah mengeluarkan 284 kompaun pelbagai kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak 136 kompaun telah dibayar dengan jumlah kompaun sebanyak RM 91,625.00.

“Kesalahan utama ialah gagal mengimbas MySejahtera atau mendaftar masuk secara manual, gagal memastikan penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka di kawasan awam.

“Antara kesalahan lain ialah gagal mematuhi jumlah penumpang yang dibenarkan dalam kenderaan persendirian, premis beroperasi tanpa kebenaran, dan tiada permit rentas daerah.

Menurutnya, pihaknya telah memperketatkan permohonan borang rentas daerah dan negeri dengan menolak 1437 permintaan rentas negeri yang tidak dibenarkan mengikut SOP MKN.

“Polis mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat melalui aplikasi Whatsapp kepada Bilik Gerakan IPD Jempol di talian 011 – 5890 1412 berkenaan sebarang perlanggaran SOP yang berlaku di kawasan –kawasan perumahan dan kediaman masing-masing atau di mana-mana sahaja dalam daerah Jempol sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Untuk rekod, polis di daerah ini telah mendirikan Sekatan Jalan Raya (SJR) statik 24 Jam di tiga lokasi iaitu di Outer 4 (KM 40 Jalan Sg Lui – Bera), Outer 7 (Persimpangan Kampung Geddes, Jalan Keratong), Outer 12 (KM 1. Jalan Rompin – Pasir Besar) manakala satu ( 1 ) sekatan jalan raya 16 jam di hadapan Taman Sornam bertujuan untuk menghadkan pergerakan orang awam merentas daerah dan negeri selaras dengan arahan pihak kerajaan tidak membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI