fbpx

38 ahli daripada 10 sindiket ah long dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunadi menunjukkan 38 ahli daripada 10 sindiket yang diberkas polis Selangor.

SHAH ALAM – Kegiatan 10 sindiket ah long yang beroperasi sejak setahun lalu tumpas dengan penahanan 38 ahlinya dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Selangor baru-baru ini.

Penahanan kesemua suspek termasuk tiga wanita itu berusia 21 hingga 61 tahun menerusi Op Vulture dilakukan bermula 3 hingga 8 Jun lalu di sekitar Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Serdang, Klang, Hulu Selangor dan Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan mendapati mereka menggunakan pelbagai medium termasuk poster, banting dan pamplet yang ditampal serta diedarkan dalam peti surat atau kenderaan.

Katanya, hasil siasatan turut mendapati sindiket ini beroperasi dua minggu hingga setahun.

“Sindiket-sindiket ini menawarkan kadar faedah 10 hingga 15 peratus sebulan kepada peminjam.

“Ada antara daripada kumpulan sindiket ini memberikan pinjaman sehingga RM1 juta kepada mangsa yang terdesak,” katanya pada sidang akhbar secara maya hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas tujuh kenderaan, wang tunai berjumlah RM51,170; 72 unit telefon bimbit, sembilan buah komputer dan pelbagai barangan berharga termasuk jam tangan berjenama.

Selain itu, turut dirampas 61 keping kad mesin pengeluaran automatik (ATM) pelbagai bank yang dipercayai milik peminjam, cek pelbagai bank serta salinan rekod peribadi peminjam.

“Sindiket ini juga terlibat dalam enam kes pinjaman wang tidak wujud di negeri-negeri lain.

“Hasil semakan, 17 daripada suspek mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan , Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” ujarnya.

Jelas Arjunadi, 12 ahli sindiket itu telah dituduh di mahkamah pada Jumaat lalu dan hari ini mengikut Seksyen 29 AA dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan).

“Tiga kes lagi iaitu di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Shah Alam telah berjaya mendapat arahan tuduh mengikut Seksyen 27A dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI