fbpx

Lambakan instafamous jadi artis, apa isunya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERRY ALHADAD (dua dari kanan) dan Aina Abdul (dua kiri) serta dua pensohor media sensasi, Sharifah Rose dan Suekhaizhar (kanan sekali).

JIKA sebelum ini, ramai artis baharu sama ada sebagai pelakon mahupun penyanyi mewarnai industri hiburan tempatan dilahirkan menerusi pelbagai program pertandingan bakat atau realiti televisyen.

Sehingga pada satu tahap, terlalu banyak muka baharu timbul dengan membawa satu tujuan iaitu untuk menjadi seorang selebriti.

Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tidak semua pendatang baharu yang lahir daripada program realiti itu kekal sebagai artis dan akhirnya hilang entah ke mana, yang tinggal hanya nama.

Sebutkan sahaja beberapa nama artis tempatan yang lahir daripada program pencarian bakat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza (Bintang RTM), Black Hanifah (Mentor), Misha Omar (Bintang RTM), Stacy (Akademi Fantasia) dan Jaclyn Victor (Malaysia Idol), mereka semua antara nama-nama yang terukir kerana bakat dan digilap untuk terus bersinar sehingga ke hari ini.

Selain melalui program realiti, ada dalam kalangan selebriti tanah air mewarnai persada seni hiburan tempatan menerusi bakat dan ilmu yang diperoleh daripada pembelajaran di institusi berkaitan seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Bahkan di peringkat universiti juga turut menawarkan program berkaitan seni seperti vokal dan lakonan supaya mereka yang bakal bergelar artis itu nanti tidak ‘kosong’ ilmu di dada.

Namun, sejak akhir-akhir ini, lanskap industri hiburan tanah air menunjukkan perubahan. Kemunculan beberapa nama baharu tiba-tiba muncul lalu menggelar diri mereka sebagai pelakon dan penyanyi.

Keberadaan mereka dalam industri bukanlah menerusi program pencarian bakat, sebaliknya ‘dipetik’ dek kerana populariti mereka dalam media sosial seperti TikTok dan Instagram.

Pelakon baharu, Sharifah Rose misalnya dikritik bakat lakonannya yang dianggap ‘kayu’. Pengalaman dan populariti yang diraih Sharifah Rose sebagai instafamous atau pensohor media tidak cukup untuk melayakkan diri digelar anak seni.

Namun, Sharifah Rose berkata dia tidak ambil hati dan sedia menerima kritikan terhadap mutu lakonannya.

Malah, dia juga tidak pernah serik dan akan terus berlakon selagi diberi peluang dan kepercayaan daripada penerbit.

Seorang lagi pendatang baharu yang lahir daripada aplikasi sosial TikTok, Suekhaizhar turut terkena tempias sama apabila kemunculannya sebagai penyanyi dikritik teruk netizen.

Biarpun dikutuk memiliki vokal yang teruk untuk bergelar penyanyi, tetapi dengan yakin, gadis itu berkata kritikan tidak mematahkan semangatnya untuk mencuba nasib dalam industri muzik.

Dia bahkan bercita-cita pula untuk menjadi seorang pelakon suatu hari nanti seperti idolanya, Mira Filzah.

Melihat pada situasi yang berlaku hari ini, di manakah keperluannya kewujudan institusi pengajian seni seperti ASWARA atau seangkatan, jika sesiapa sahaja boleh menjadi artis segera hanya menggunakan platform media sosial?

Pelakon, pelawak dan pengacara, Sherry Alhadad yang juga merupakan alumni ASWARA, sendiri tidak menafikan realiti dunia seni hari ini.

Namun, dia tidak mempunyai masalah besar untuk menerima kehadiran pendatang baharu dalam kalangan selebriti media sosial kerana menganggap rezeki mereka sudah tertulis untuk berada dalam industri.

“Itu rezeki mereka (selebriti media sosial) untuk berada dalam industri seni. Saya lahir sebelum media sosial berkembang luas. Pada waktu itu kami tidak ada platform sebegitu untuk mengembangkan bakat.

“Jadi, kami hanya mengharapkan sesi uji bakat untuk mempamerkan bakat dan mencari peluang untuk diketengahkan,” ujarnya.

Ujar Sherry, jika seseorang selebriti media sosial itu telah mendapat peluang untuk berada dalam industri, mereka sewajarnya menggunakan peluang tersebut untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan ‘berguru’

dengan artis senior yang lain.

“Artis sedia ada pula jangan terlalu mendabik dada dan meminggirkan artis baharu ‘keluaran’ media sosial.

“Mereka juga wajar diberikan peluang. Saya percaya mereka yang dianggap ‘kayu’ itu suatu hari nanti akan berjaya hasil menuntut ilmu,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan oleh penyanyi Aina Abdul apabila tidak melihat kehadiran bakat baharu menerusi media sosial sebagai ‘penyibuk’ dalam industri seni hiburan.

“Saya melihat selalunya buah tangan yang dipamerkan oleh selebriti media sosial selalunya akan menjadi viral dan diterima baik peminat.

“Saya anggap kehadiran mereka sebagai pembakar semangat untuk bekerja lebih keras,” ujarnya.

Tambahnya, biar segelintir mereka dikritik netizen kerana membawa bakat yang tidak seberapa, namun bagi si artis itu pula, jangan jadikan peluang yang diberikan sia-sia.

“Mereka seharusnya ke hadapan dan timba lagi ilmu sebanyak mungkin untuk jadi yang terbaik.

“Saya sendiri pernah cuba cara yang sama untuk popular dan mencipta nama, tetapi tidak berjaya. Jalan hidup setiap orang berbeza,” tutup penyanyi lagu Semalam itu optimis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI