fbpx

Kes saman 1MDB terhadap Najib didengar hakim lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Kes saman 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) terhadap beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan didengar di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Perkara itu ditentukan selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Adlin Abdul Majid yang sepatutnya mendengar kes itu, menarik diri daripada terlibat dalam prosiding perbicaraan.

Sebelum Adlin, Pesuruhjaya Kehakiman Liza Chan Sow Keng yang sepatutnya mendengar kes saman SRC International Sdn. Bhd. terhadap Najib, mengundurkan diri Selasa lalu atas alasan beliau mengenali bekas Perdana Menteri.

Pengunduran Adlin disahkan kepada pihak media hari ini oleh peguam Siva Kumar Kanagasabai dari Tetuan Skrine & Co. yang mewakili 1MDB selaku plaintif selepas pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian.

Katanya, Adlin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan plaintif agar beliau menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan dalam prosiding berkenaan.

Menurut Siva Kumar, hakim itu bersama-sama peguam Datuk DP Naban dan Rosli Dahlan sebelum ini merupakan rakan kongsi Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill (LHAG) dari Januari 2005 hingga Februari tahun lalu.

Ujarnya, pada masa material,  firma guaman itu menerima arahan untuk bertindak bagi pihak 1MDB walaupun hakim tersebut tidak terbabit secara peribadi.

Jelas Siva Kumar, Adlin perlu menarik diri kerana beliau dan beberapa peguam dari firma guaman
Skrine akan mengendalikan kes itu bersama-sama DP Naban dan Rosli yang kini merupakan rakan kongsi dalam Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Kes saman hari ini merupakan salah satu daripada 22 writ saman yang difailkan oleh 1MDB dan anak  syarikatnya, SRC pada 7 Mei lalu bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion, termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengesahkan, enam writ saman difailkan oleh 1MDB terhadap sembilan entiti manakala 16 saman oleh SRC dikemukakan terhadap lapan entiti dan 15 individu.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi berlainan, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan 1 Julai ini untuk pengurusan kes saman SRC di bawah pengurusan baharunya terhadap Najib dan enam lain.

Writ saman itu difailkan dengan menamakan Najib serta enam bekas Pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md.Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar sebagai defendan-defendan.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) mendakwa, semua
defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah manakala Najib didakwa menyalahguna kuasa dan mendapat manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI