fbpx
COOLS (tengah) giat menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan buat kali pertama sejak menyertai skuad Harimau Selatan di Dubai, UAE semalam.

Cools dijangka isi kekosongan Shahrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mendedahkan khidmat ‘bintang baha­ru’, Dion Cools mungkin akan digunakan di posisi pertahanan tengah bagi menguatkan benteng pasukan menjelang aksi bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) awal pagi Jumaat ini.

Sebagai rekod, Cools secara rasminya diumumkan sebagai pemain ke-26 skuad negara yang kini berdepan tugas getir bagi mengharungi baki saingan kela­yakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai bulan ini.

Kata Cheng Hoe, kehadiran pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium itu sememangnya memberi impak positif terutama dalam menaikkan motivasi rakan-rakan sepasukan selain tugas dan posisinya juga sudah ditetapkan iaitu di benteng tengah.

“Kehadiran Cools sememang­nya dapat menstabilkan pasukan dan saya harap dia tidak me­nunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan di­siplin yang telah diterapkan oleh barisan jurulatih.

“Kelebihan yang dimiliki Cools sudah tentu selain pengalaman luas, dia juga merupakan pemain serba boleh dengan kebolehan beraksi di posisi bek kanan, bek kiri, pertahanan tengah, sayap mahupun pemain tengah.

“Namun, kali ini kami meletakkan harapan tinggi untuk menggandingkan dirinya dengan Aidil (Zaquan) di benteng pertahanan tengah kerana ketiadaan Shahrul (Saad) yang cedera agak dirasai,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.

CHENG HOE

Mengulas lanjut, Cheng Hoe enggan pujian menggunung diberikan kepada pemain berusia 25 tahun itu dengan menganggap Cools sebagai hero Harimau Malaya kerana ia mungkin boleh memberi tekanan tambahan buat­nya.

“Jika satu pasukan beraksi baik, sudah tentu hero sebenar adalah satu pasukan dan pujian tidak wajar diberikan kepada individu.

“Namun, berdasarkan apa yang saya lihat, Cools seorang pemain yang cepat belajar dan saya harap dia tidak mempunyai masalah untuk membentuk ke­serasian memandangkan bukan mudah untuk mengingati nama 25 rakan sepasukan dalam tempoh singkat.

“Apa yang pasti, dia perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan dan buat masa ini, saya tidak boleh memberi jaminan dia akan diletakkan dalam kesebelasan utama atau sebalik­nya,” katanya.

Selepas aksi bertemu UAE (4 Jun), skuad Harimau Malaya akan melengkapkan aksi Kumpulan G menentang Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun) di Dubai.

POPULAR