fbpx

Jubah moden ciptaan Munawwareen berkualiti, ayu dipakai wanita masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aliza mula berniaga sejak remaja sehingga minat itu dipupuk menjadi kerjaya dan membangunkan empayar perniagaannya sehingga kini.

Platform PKS

PETALING JAYA – Memberi noktah kepada kerjayanya sebagai salah seorang daripada pe­ngasas sebuah syarikat berdaya saing di negara ini tidak bermakna­ beliau terus bersara daripada dunia perniagaan.

Wanita berasal dari Kota Bharu yang sejak kecilnya suka berdikari mencari duit poket untuk meringankan beban keluarga itu, kini beralih kepada bidang fesyen dan pembuatan pelitup muka seiring dengan perubahan gaya hidup dan juga memenuhi keperluan negara yang sedang berdepan dengan krisis kesihatan.

Pengasas Munawwareen Holdings Sdn. Bhd. (Munawwareen), Aliza Abu Bakar berkata, meskipun tidak memiliki sebarang latar belakang pengajian dalam dunia fesyen tetapi minat yang mendalam membuatkan beliau sentiasa segar mencari idea untuk menghasilkan rekaan baharu dari semasa ke semasa.

“Rekaan pertama syarikat ialah jubah moden muslimah yang telah dilancarkan pada suku kedua tahun lalu dengan konsep mudah bersolat,” kata­nya ketika ditemui di Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Aliza sangat meminati jubah dan setiap kali berada di Asia Barat untuk melancong atau mengerjakan umrah, beliau akan mengkaji jenis jubah yang di pakai oleh wanita di negara-negara berkenaan.

“Saya begitu asyik melihat wanita di sana memakai jubah daripada pelbagai rekaan yang membayangkan negara asal mereka.

“Setiap negara memiliki rekaan jubah yang menarik dan dari situ datang idea untuk menggabungkan konsep berkenaan untuk disuai padan dengan rekaan cita rasa dan gaya hidup pelanggan di Malaysia,” jelasnya.

Tidak berkompromi dengan mutu fabrik yang digunakan, Aliza memilih chiffon berkualiti tinggi dengan penawaran enam pilihan warna yang menarik bersesuaian untuk dipakai oleh wanita daripada pelbagai peringkat usia.

Tambah beliau, jubah yang dimodenkan sedikit rekaannya akan tetap memelihara kesopanan dan kecantikan seseorang wanita itu, malah sesuai dipakai di majlis rasmi atau apa sahaja tujuan pemakaian tersebut.

“Ini cara saya membantu wa­nita untuk memiliki pakaian yang mudah dibawa bersolat, sopan dan sesuai dipakai di mana sahaja, malah memberi keselesaan kerana kualiti kainnya tidak membuatkan si pemakai rasa panas dan berpeluh.

“Untuk menghasilkan satu-satu rekaan koleksi jubah, ia telah melalui beberapa kali pengubahsuaian sehingga benar-­benar memenuhi keper­luan syarikat, kerana saya seorang yang cerewet.

“Saya mahu pelanggan ber­puas hati dengan produk yang diterima dan rasa berbaloi de­ngan wang yang mereka bayar,” jelasnya.

Aliza menerangkan, jubah keluaran Munawwareen dijual pada harga antara RM300 hingga RM600 sepasang.

Ditanya harga yang agak mahal ditawarkan pada persekitaran ekonomi semasa, beliau optimis terhadap pasaran yang difokuskan kepada kumpulan pelanggan yang mahukan pa­kaian berkualiti tinggi.

Mengulas mengenai perancangan tahun ini, syarikat baru sahaja memperkenalkan koleksi jubah moden, Ardani dengan tawaran koleksi warna pastel yang sangat menarik.

Jubah yang menggunakan fabrik kapas Jepun itu sangat lembut sehingga berjaya mencatat jualan yang tinggi sejak mula dipasarkan pada bulan April lalu.

Koleksi baharu ini dijual pada harga RM169 sepasang itu di­jangka mencatat jualan lebih dari­pada 200 pasang sebulan.

Ditanya mengenai kekangan yang dihadapi ketika berada dalam dunia korporat sebelum ini, Aliza mengakui, bisnes online sememangnya memberi kepuasan kepadanya untuk membantu ramai wanita berfesyen.

“Memanglah bidang perniagaan runcit ini agak remeh ke­rana perlukan komitmen membuat rangka pemasaran yang agresif tetapi segala urusan dapat dilaksanakan melalui soko­ngan daripada kakitangan syarikat dan keluarga.

“Cara ini juga memberi peluang kepada saya untuk menarik minat anak-anak untuk terlibat dalam dunia perniagaan.

“Berniaga dalam dunia fesyen ini, tidak boleh mengamalkan konsep ‘syok sendiri’ tetapi perlu sentiasa membuat kajian pasaran dan menerima maklum balas daripada pelanggan bagi memenuhi cita rasa dan permintaan mereka,” jelasnya.

Selain itu, syarikat juga telah mengembangkan sayap perniagaannya dengan memper­kenalkan pelitup muka berjenama ­Callie.

Munawwareen yang turut memiliki kilang pembuatan pelitup muka itu menawarkan produk dengan pelbagai warna menarik bersesuaian untuk wanita atau lelaki yang mementingkan penampilan diri tetapi dalam masa sama mahu menjaga kesihatan masing-masing ketika berada di luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI