fbpx

Lima wanita, seorang lelaki dikompaun hadir kelas solekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

REMBAU – Lima wanita dan seorang lelaki dikenakan kompaun keseluruhan bernilai RM37,000 selepas dikesan menghadiri kelas solekan sekaligus melanggar prosedur operasi standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kompaun berkenaan dikeluarkan petang semalam setelah kesalahan tersebut disedari berlaku oleh pasukan Pematuhan SOP di sebuah kediaman di Kampung Seberang Batu Hampar petang semalam.

Menurut sumber, tuan rumah iaitu seorang wanita dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 kerana menganjurkan aktiviti kelas solekan yang dilarang semasa perlaksanaan PKP kerana boleh menyebabkan kehadiran orang ramai.

“Satu kompaun bernilai RM5,000 turut dikenakan kepada seorang wanita kerana dikesan telah melanggar SOP PKP dengan merentas daerah tanpa surat kebenaran polis.

“Manakala, empat kompaun lagi dikeluarkan masing-masing sebanyak RM4,000 seorang kepada empat peserta berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun termasuk seorang lelaki kerana telah melanggar SOP PKP dengan berkumpul menghadiri kelas solekan di premis kediaman berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini, tadi.

Sumber berkata, kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI