TIDAK perlu mukadimah panjang, pemilik nama penyanyi Indonesia, Naykilla nyata sudah mempunyai kelompok peminat tegar di Malaysia hanya dengan bermodalkan satu album mini bersama beberapa single.
Konsert Naykilla Centyl in My Playground yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu menjadi bukti aura salah seorang pelopor genre hip-dup atau hip-hop dan dangdut diadun bersama muzik EDM itu cukup kuat di negara ini.
Bahkan penonton terutama wanita turut bergaya persis idola kesayangan mereka itu apabila muncul mengenakan baju rona neon, perincian metalik dengan elemen futuristik mengikut budaya pop urban Gen Z.
Kesayangan peminat
Bagai dijanjikan, tepat pukul 8.30 malam gelanggang disemarakkan dengan sorakan sebaik personaliti genit berusia 23 tahun itu tampil mengalunkan lagu Bahasa Tubuhmu.
Menaikkan lagi graf persembahan adalah lagu cover version nyanyian SZA and Travis Scott, Open Arms yang pernah dibawakan ketika awal kemunculan dahulu sekali gus melonjakkan namanya dalam arena muzik Seberang.
Hangat menyapa peminat, penyanyi yang menghasilkan single pertama pada 2019 itu beraksi dengan rakan seperjuangannya, Ryo menyampaikan Skip Dulu Ah juga antara bingkisan daripada mini albumnya.
Ryo kemudian mengambil alih pentas secara solo membawakan empat lagu sebelum lagu popular Indonesia, Keong Racun bergema di Zepp disusuli Cinta Satu Malam dan We Can’t Be Friend.
Bagai dijanjikan, seorang lagi penyanyi undangan beraksi dengan Naykilla mendendangkan Yung Caters bersama, I Heart You, Baby dan Geleng-Geleng sebelum sekali lagi meninggalkan pentas bagi segmen solo rakannya itu.
Selepas itu Sayonara pula menjadi pilihan figura asal Surabaya tersebut dan tidak bersendirian, dia berpadu suara pula dengan teman akrabnya dari Kuala Lumpur, Sophia yang turut beraksi solo.
Identiti muzik unik
Nyata gabungan hipdut dan elektronik yang dipengaruhi elemen rap, hyperpop, EDM dan bunyi eksperimental menjadikan penggemar menyukai identiti muziknya.
Melihat keterujaan sekitar 1,500 peminat yang memenuhi gelanggang popular tersebut, tentu sahaja dapat memahami faktor tarikan Naykilla yang seumpama magnet.
Memang tepat percaturan Icon Entertainment menerbangkan Naykilla ke Kuala Lumpur apatah lagi ketika hadir bersama penyanyi senegaranya, Tenxi sekitar awal tahun ini, sudah nampak kegilaan Gen Z terhadap seleksi lagunya.
Tenaga yang ditunjukkan membuatkan penonton turut sama menyanyi dan berdansa malah dia sempat bergurau mendedahkan stoking dikenakan nyaris ‘melorot’ dek terlalu aktif bergerak ke segenap ruang.
Kembali menakluk pentas, Naykilla juga meraih sorakan apabila mengumumkan Ryo sebagai kekasihnya sebelum menyampaikan lagu Raga disusuli dua seleksi yang belum dilancarkan, MMG serta Satu Cinta Di Udara.
Usai meraih sorakan, dia kembali ke belakang pentas bagi memberikan ruang kepada Jemsii serta pasukannya menghiburkan penonton hampir 15 minit.
Seakan-akan memahami keinginan penggemar tegar sedari usia 12 tahun yang turut berada di celah penonton, dia memilih Garam & Madu juga pemenang Karya Produksi Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2025 sebagai penutup panggung disusuli So Asu.
Walaupun riak gembira terserlah di wajah pengikut setianya, masih ada dalam kalangan penonton seolah-olah tidak puas apabila penyanyi kesayangan mereka lebih banyak memberikan ruang kepada artis jemputan.
Begitupun, pujian tetap dilayangkan terutama auranya menguasai pentas selain diperkukuhkan permainan visual neon, tata cahaya serta susunan muzik lebih rancak, sekali gus memenuhi konsep playground atau taman permainan seperti dijanjikan penganjur.














