fbpx

Isu jenama Search belum berkesudahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KRISIS jenama Search masih tergantung kerana kedua-dua pihak mempertahankan pandangan masing-masing.

PETALING JAYA – Syarikat Home Of Champions (HOC) mendakwa anggota kumpulan berkenaan, Amy, Nasir Daud dan waris Allahyarham Yazit Ahmad tidak berhak membuat tuntutan atas penggunaan jenama Search.

Pengurus HOC, Mozlir Mokhtaruddin mendakwa selama ini Search tidak pernah berdaftar bawah mana-mana tanda dagang atau ‘trademark’.

Menurut Mozylir, mustahil pihak Nasir dan  Amy tidak mengetahui jenama Search diguna pakai syarikatnya itu sebelum pemain bass itu bersama dua lagi anggota kumpulannya, Din dan Kid sudah bersama-sama memulakan projek terbabit, awal tahun lalu.

Katanya, ketiga-tiga mereka termasuk Nasir sudah memberikan kebenaran, bahkan itu tidak berhak melarang nama Search digunakan kerana belum dipatenkan.

“Tiada isu kerana dokumen berkaitan produk, reka bentuk, kuantiti dicadangkan dan agihan royalti termasuk kepada setiap individu sudah ditandatangani oleh Din dan Nasir tidak punya hak menghalang sebab Din dan Kid juga anggota Search.

“Macam mana timbul tidak tahu? Adakah salah kami kalau dia yang berhenti separuh jalan? Idea bermula sejak Konsert Apologia Search dan Awie hingga beberapa siri mesyuarat mengenai penjualan barangan premium serta projek lain di bawah penyertaan dan pengetahuan Nasir.

“Namun disebabkan Covid-19, konsert ditangguhkan. Lambakan baju T Apologia dijual di laman sosial, begitu juga selepas ditukar kepada Konsert Cinta Buatan Malaysia, barangan premium konsert juga dijual di medium sama selepas tertangguh lagi.

“Selepas itu HOC mencadangkan untuk meneruskan pemasaran dan jualan produk dengan kerjasama Search. Dia pun setuju., Alih-alih seminggu sebelum hari raya Nasir tidak menjawab sebarang panggilan kami hingga hari ini,” katanya menerusi sidang media, petang tadi.

Selain Mozylir, sidang media secara virtual itu turut disertai Din dan peguam mereka, Datuk Syed Azimal Amir Abu Bakar dari Tetuan Sharif Ridzuan & Co, manakala seorang lagi rakan niaga HOC yang juga pemain gitar utama Search, Kid tidak dapat hadir.

Mereka mengadakan sidang berkenaan bagi membalas kenyataan Nasir dan bekas vokalis kumpulan itu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berhubung dakwaan HOC, Din dan Kid menggunakan nama Search tanpa kebenaran.

Jumaat lalu, Amy, Nasir dan waris Yazit iaitu anaknya Shamirnuri, 36,  mengadakan sidang media menerusi Instagram dengan memberi tempoh tujuh hari terhadap Mozylir dan HOC menghentikan kegiatan serta perniagaan membabitkan nama Search.

Mengenai notis tuntutan dimaksudkan, Muzylir mengesahkan pihaknya sudah menerima dokumen terbabit Selasa lalu namun tetap meneruskan aktiviti perniagaan yang diusahakan secara kerjasama itu seperti biasa.

Berhubung pembahagian royalti, katanya perkara itu sudah dimaklumkan kepada Nasir berserta dokumen berkaitan yang turut beberapa individu lain sebagai penerima termasuk waris Allahyarham Yazit Ahmad.

“Sebagai rakan niaga dan kenalan semua anggota Search, saya tetap menghormati Nasir dan Amy. Namun macam kami katakan, soal pengagihan memang ada tetapi dalam projek ini HOC sudah mengeluarkan kos besar dan Din pula tertumpu kepada idea produk,” katanya.

Sementara itu, Din terkilan dengan sikap Nasir yang tidak mendedahkan perkara sebenar tetapi pada masa sama berharap kemelut ini dapat diselesaikan secara baik tanpa campur tangan pihak ketiga yang mengusutkan situasi.

“Saya kenal Nasir bukan empat tahun, tetapi 40 tahun. Dia tahu apa yang berlaku, jadi biarlah isu dapat diselesaikan. Bagi saya orang luar tak perlu campur tangan dengan provokasi yang tidak sepatutnya dan menjadi batu api.

“Saya tahu hal peribadi saya dijaja sedangkan isu yang kita patut bersemuka dan bincangkan adalah soal perniagaan membabitkan kepentingan anggota Search, bukan dibuat kerana desakan mana-mana individu.

“Jika tohmahan dan cubaan memalukan saya diteruskan pihak berkenaan, perkara ini akan saya serahkan kepada peguam kami. Jika tanya saya sama adaa tidak takut Search berpecah kepada dua, soalan itu perlu ditanyakan kepada Nasir juga,” katanya.

Sementara itu, peguam HOC, Syed Azimal berkata kedua-dua pihak perlu bersemuka untuk menyelesaikan kemelut ini sekali gus mencari jalan terbaik supaya mereka tidak membuang masa di mahkamah.

Syed Azimal juga berkata, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman tidak berhak membuat sebarang tuntutan berikutan sebaik meninggalkan kumpulan itu secara rasmi pada Mac tahun lalu.

“Dari segi perundangan, individu yang keluar daripada persatuan mahupun kumpulan, secara langsung tidak lagi terbabit dengan apa-apa aktiviti tetapi masih layak  terima royalti. 

“Isu sekarang adalah membabitkan dua perkara itu penjualan  aksesori seperti pakaian dan kasut yang menggunakan nama Search. Soalnya adakah Search sudah mendaftar hak itu dan  siapa pemiliknya?

” Isu kedua adalah pembayaran royalti, sekiranya anak guam saya bersedia membayar royalti kepada bekas anggota, ia adalah atas dasar semangat setia kawan ,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI