fbpx

Lagu ‘masam’ Olivia Rodrigo pecah rekod

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OLIVIA RODRIGO

ALBUM studio debut Olivia Rodrigo, Sour meroket di tangga pertama carta album Amerika Syarikat (AS), Billboard 200, sekali gus menjadi diskografi perdana dengan penstriman minggu pertama tertinggi penyanyi wanita sepanjang zaman dengan 250 juta penstriman.

Selepas Drivers License, Olivia sekali lagi melonjak ke nombor satu dalam carta lagu Billboard Hot 100 menerusi lagu Good 4 U yang merupakan single debut album Sour.

Sehingga artikel ini ditulis, Sour menyekat rekod cemerlang kumpulan K-pop terkenal dunia, BTS apabila semua lagu dalam album tersebut menduduki keseluruhan tangga 100 teratas carta Spotify AS.

TERUJA kerjayanya meroket cantik dan diterima di persada muzik global, Olivia ingin terus berhubung dengan pendengar dengan cara melahirkan karya-karya yang berkualiti.

Hibrid Taylor, Paramore, Miley

Bagaimana kejayaan tersebut diraih? Barangkali Olivia harus berterima kasih terhadap bakat penulisan lagu, gosip yang tidak terlalu ‘liar’ dan teknik pemasaran yang ‘top-notch’.

“Apa yang berlaku sekarang memang sangat gila. Saya tidak menjangka langsung semua ini akan berlaku. Ketika Drivers License dilancarkan dulu, saya berada dalam kuarantin. Tak jumpa orang dan tiada persembahan pentas.

“Rasa macam tak boleh percaya semua ini berlaku. Terima kasih kepada golongan yang sukakan muzik saya dan menyokong perjalanan kerjaya saya yang masih hijau ini,” kata Olivia kepada HibGlam dalam satu pertemuan media Asia Tenggara secara dalam talian baru-baru ini.

Baru menginjak usia 18 tahun pada akhir Februari lalu, momen mengujakan dan sangat bermakna sepanjang kariernya setakat ini adalah ketika berpeluang melakukan persembahan dalam program televisyen, Saturday Night Live (SNL).

“Berpeluang menyanyi di pentas SNL pada usia karier yang masih muda menjadi satu perkara yang amat membanggakan buat saya.

“Tengok orang bersorak buat saya sedikit sebanyak memberi peringatan bahawa apa yang saya bikin sekarang memberi impak terhadap budaya pop,” kata pemilik nama lengkap Olivia Isabel Rodrigo itu.

Diajak berbicara tentang pengaruh muziknya, penulis ingin meletakkan beberapa pandangan.

Olivia berkarya persis Taylor Swift, menyanyi seperti Paramore dan barangkali mendengar lagu-lagu The All-American Rejects, My Chemical Romance atau Greenday. Dia mempunyai pesona pentas seperti Miley Cyrus.

Menjawab pertanyaan selang seperenggan di atas, kata Olivia: “Saya dipengaruhi pelbagai genre muzik, seperti punk, grunge, country, bahkan folk music.

“Semua itu adalah pengaruh atau rujukan muzik saya, namun apabila buat muzik, saya letak ‘suara’ saya sendiri di dalamnya.

“Sekarang, saya mendengar banyak muzik rap atau hip-hop. Saya suka dengar rap penyanyi wanita seperti Cardi B, Nicki Minaj dan Meghan Stallion.”

GOOD 4 U terus menyambung fenomena Drivers License apabila debut di tangga pertama carta Billboard Hot 100 sekali gus menjadikan dirinya sebagai artis muda pertama yang mencatat rekod berkenaan.
– FOTO IHSAN UNIVERSAL MUSIC

Tradisi Filipina

Buat yang benar-benar mengikuti perjalanan awal kerjaya Olivia sebagai pelakon dan penyanyi, Taylor pernah mengucapkan tahniah kepadanya atas kejayaan Drivers License.

Ditebak pertanyaan, adakah dia memasang impian untuk berkolaboratif dengan wanita itu, balas Olivia: “Kalau itu terjadi (kerjasama dengan Taylor), memang hebat. Saya memang sangat mengidolakannya.

“Untuk album debut, Sour, saya hanya ingin tonjolkan diri sahaja. Jadi, sebab itu tiada kerjasama dengan mana-mana artis. Kalau ada peluang nanti, saya memang ingin berkolaboratif dengan ramai artis lain dalam karya berikut nanti.”

Berketurunan Filipina-Amerika, Olivia mendedahkan, moyangnya berpindah dari Filipina ke AS sejak usia remaja. Sehingga kini, mereka sekeluarga masih mengamalkan tradisi dan budaya orang Filipina.

“Saya ada saudara-mara di Filipina dan setiap kali perayaan Hari Natal, kami akan buat panggilan video.

“Nanti apabila sudah boleh ‘terbang’, saya ingin melawat Filipina. Itu semacam satu perkara yang mesti dilakukan,” ujarnya.

KATA Olivia kepada HibGlam, keluarga dan rakan-rakan ialah sumber inspirasi kepadanya dalam penghasilan karya yang bersifat autentik.

Nak ‘jadi adik’ Miss Universe

Masih berkait perihal asal usul, Olivia menzahirkan hasrat untuk berkolaborasi dengan orang Filipina. Katanya, dia sangat mengagumi Miss Universe 2018, Catriona Gray.

“Saya suka tengok dia (Catriona). Mungkin saya dan dia boleh berlakon dalam sebuah filem bersama. Dia jadi kakak saya kerana saya diberitahu, kami macam kembar (tertawa).

“Atau kami boleh melakonkan watak saya, namun dibezakan dengan jurang usia. Dia antara individu paling cantik di dunia. Saya sangat mengaguminya dan bangga dengan apa yang ditonjolkannya kepada dunia,” tutur Olivia.

Ditanya tentang kesahihan sama ada semua lagunya berdasarkan kisah peribadi, Olivia menafikan perkara tersebut. Katanya, ada yang bersandarkan pengalaman peribadi dan ada juga daripada kisah orang lain.

“Bukan semua lagu yang saya tulis merupakan kisah hidup sendiri. Kalau begitu, karya-karya saya membosankan (ketawa).

“Dalam Sour, ada lagu ditulis daripada perspektif orang lain iaitu pengalaman kawan-kawan rapat,” katanya menggulung perbualan.

Sour yang memuatkan 10 buah trek kini sudah berada dalam pasaran muzik global sejak 21 Mei lalu dan menjadi album paling laris di kebanyakan negara seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI