fbpx

Noor Hisham kongsi panduan pakai pelitup muka berganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham (kiri) dilihat memakai pelitup muka berganda ketika mengadakan lawatan kerja ke Field ICU di pekarangan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.- Foto FB NOOR HISHAM

PUTRAJAYA – Berikutan galakan pemakaian pelitup muka berganda yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham semalam, hari ini beliau berkongsi di laman webnya mengenai panduan pemakaian tersebut kepada orang ramai.

Ia susulan ramai yang bertanya mengenai amalan memakai pelitup muka berkenaan manakala panduan ringkas yang tersebut adalah daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Panduan ringkas tersebut menyatakan, pihak CDC dan pakar penyakit berjangkit terkemuka AS, Dr. Anthony Fauci telah menjalankan validasi ke atas pemakaian pelitup muka berganda dan didapati membantu menapis lebih banyak partikel berbanding satu pelitup muka kain.

“Terdapat dua kaedah telah dikaji bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan pelitup muka.

“Kajian CDC menunjukkan pemakaian pelitup muka berganda (pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan) dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19,” menurut maklumat tersebut.

Dalam pada itu, kaedah pertama ialah dengan mengikat gelung telinga ke tepian pelitup muka dan selitkan lipatan sisi pelitup muka bagi mengurangkan jurang dengan muka.

Bagi kaedah kedua pula ialah pemakaian pelitup muka berganda iaitu pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan dan ia sememangnya akan menjadikan pernafasan sedikit sukar.

“Namun secara umumnya penggunaan pelitup muka perubatan (3-ply surgical mask) dengan pelitup muka kain dapat digunakan dengan baik oleh kebanyakan pengguna dan ia tidak mengurangkan pembekalan oksigen kepada pemakai,” jelas panduan ringkas itu.

Berdasarkan perbandingan peratus keberkesanan pelitup muka, pelitup muka berganda didapati memberi perlindungan 85.4 peratus manakala, pemakaian satu pelitup muka dengan mengikat gelung telinga memberi perlindungan sebanyak 77 peratus.

Bagi pemakaian satu pelitup muka perubatan tanpa mengikat gelung telinga, ia memberi perlindungan kepada pemakai sebanyak 56.1 peratus dan pemakaian satu pelitup muka kain memberi perlindungan 51.4 peratus.

Justeru, kaedah pemakaian pelitup muka berganda yang betul ialah menggunakan pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain.

“Elak mengenakan dua pelitup muka perubatan atau dua pelitup muka kain sebagai pelitup muka berganda. Manakala pelitup muka N95 sepatutnya digunakan satu sahaja dan tidak dipasangkan dengan pelitup muka lain.

“Pelitup muka N95 adalah piawaian tertinggi bagi jenis pelitup muka dan ia boleh melitup permukaan muka dan menapis sehingga 95 peratus partikel (sekiranya dikenakan dengan betul). Oleh itu, tiada keperluan untuk mengenakan pelitup muka berganda,” menurut panduan tersebut.

Panduan ringkas berhubung pemakaian pelitup muka berganda itu dimuat naik di laman web https://kpkesihatan.com/ dan turut dikongsikan oleh Noor Hisham pada Facebook beliau hari ini.

Semalam Kosmo! Online melaporkan, pemakaian dua pelitup muka adalah digalakkan kerana kemampuannya untuk menapis sebanyak 95 peratus virus sekali gus bagi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19.

Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, pemakaian dua pelitup muka itu juga digalakkan di tempat awam yang berisiko tinggi seperti hospital. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI