fbpx

Lufya Omar nafi halang bekas suami bertemu anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon dan juga penyanyi Lufya Omar menafikan bahawa dia tidak membenarkan bekas suami, Che Muhammad Hafiz Che Baharum untuk berjumpa dengan anaknya, Laana Haura.

Menerusi satu perkongsian menerusi sesi soal jawab dalam InstaStory miliknya, salah seorang pengikutnya bertanyakan tentang dakwaan Lufya tidak membenarkan Hafiz berjumpa dengan anaknya.

“Kenapa tak bagi ayah Haura (Hafiz) jumpa dia (anak)?” soal pengikutnya.

Soalan tersebut kemudiannya dijawab oleh Lufya dengan memberitahu bahawa dia tidak pernah menghalang suami mahupun keluarga pihak lelaki itu untuk bertemu dengan anaknya.

“Tidak ada halangan daripada kami sekeluarga. Dah cuba sebaik mungkin untuk kepentingan anak,” jawabnya.

Ujar Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 37, dia tidak perlu terhegeh-hegeh untuk memaksa bekas suaminya datang bertemu anak mereka jika itu bukan kehendaknya.

“Kalau dia (Hafiz) dan keluarganya sendiri tak datang, perlu ke saya terhegeh-hegeh mencarinya lagi? Jawab di akhirat nanti. Sekian,” tulisnya dalam InstaStory.

Menerusi satu hantaran berbeza, Lufya turut berkongsi sekeping foto dalam imej berniqab bersama anaknya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Ujarnya, ketika pelaksanaan PKP tahun lalu, dia mengakui berasa susah hati kerana tidak mempunyai pekerjaan namun perlu membayar banyak komitmen termasuk perbelanjaan anaknya yang ditanggung 100 peratus.

“Kerja tidak ada, nak bayar macam-macam, anak pun 100 peratus kita tanggung. Susah hati jangan cakaplah.

“Tapi Allah SWT mendengar doa hambaNya. Satu-satu rezeki Allah SWT datangkan dengan mencurah-curah,” ujarnya.

Dalam perkongsian itu juga, Lufya memberitahu bahawa kaum wanita sebenarnya tidak lemak, malah lebih hebat daripada lelaki.

“Terus cekalkan hatimu ibu-ibu tunggal sekalian. Berjuang untuk anak, Allah SWT pasti limpahkan rahmat dan rezeki untukmu.

“Apa yang kita tanam dan usahakan InsyaAllah akan petik hasil yang baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, Lufya dan Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Laana Haura yang kini berusia empat tahun.

Bagaimanapun kedua-dua mereka sah bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI