fbpx

Angkara alpa, kuman korona semakin galak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

DI SEBALIK pelbagai langkah tegas diambil pihak berwajib untuk menangani pandemik Covid-19 termasuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi larangan merentas daerah dan negeri, ia nampaknya masih belum mampu mengekang jangkitan kuman korona daripada terus merebak.

Semalam sahaja, negara mencatat rekod kes Covid-19 harian tertinggi dengan jumlah keseluruhan mencecah 6,806 kes dengan Selangor paling ramai terjangkit dengan 2,277 kes, manakala negeri-negeri lain pula turut merekodkan peningkatan menakutkan.

Persoalannya, mengapa angka ini terus meningkat? Apakah langkah pencegahan yang kita ambil sebelum ini masih tidak cukup berkesan? Apakah rakyat masih tidak faham dan tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP)? Di mana silapnya kita?

Dua tiga hari lepas, tersebar satu rakaman mengenai seorang lelaki tua yang terpaksa dibawa ke hospital dengan sebuah ambulans kerana positif Covid-19.

Apa yang mengejutkan, ketika lelaki itu hendak keluar dari rumah, ramai ahli keluarga bersalaman dan memeluknya sebelum dia ke hospital.

Dalam keadaan biasa, apa yang yang dilakukan oleh keluarga itu memang terpuji kerana itu merupakan sebahagian daripada adab mulia yang perlu dilakukan terhadap orang tua, namun mereka tidak boleh berbuat demikian dalam keadaan lelaki tua itu telah dijangkiti Covid-19.

Itu baharu satu kes, belum lagi kisah mereka yang balik kampung sama ada ‘berlesen’ ataupun yang menipu, keluar melepak beramai-ramai, mengadakan pelbagai majlis sosial dan macam-macam lagi.

Pada masa sama, ketika pihak berkuasa bersungguh-sungguh menyekat orang ramai daripada merentas daerah dan negeri, namun masih ramai pula diberi kelonggaran berbuat demikian seperti pasangan suami isteri jarak jauh.

Mengikut statistik, sebanyak 113,048 permohonan merentas negeri dan daerah telah diluluskan pihak polis dalam tempoh 12 hingga 15 Mei lalu dan ia tidak termasuk jumlah mereka yang ‘curi balik’ melalui lorong tikus.

Hakikatnya, aktiviti rentas negeri inilah sebenarnya merupakan antara punca tersebarnya kuman korona ke seluruh pelosok negara.

Barangkali, senario kegagalan sebahagian daripada masyarakat kita untuk mematuhi SOP inilah yang menyebabkan jangkitan kuman korona begitu mudah tersebar dan kini menjadi semakin teruk.

Daripada apa yang berlaku ini, dapatlah kita simpulkan bahawa masih ramai daripada kita yang sebenarnya belum faham dan alpa mengenai amalan yang sepatutnya dilakukan untuk mencegah kuman korona ini daripada terus merebak.

Jadi, pihak berkuasa perlu meneliti dan menangani senario ini dengan lebih serius supaya semua mesej dan ilmu mengenai langkah pencegahan pandemik Covid-19 benar-benar sampai dan difahami oleh masyarakat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI