fbpx

Wafer emas Makmur Gold dedikasi kepada perjuangan Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin Abdullah (dua dari kiri) bersama Mohd Faizuddin (dua dari kanan) dan Khairul Azam Awang (kiri) pada Majlis Pelancaran Wafer Khas Untukmu Palestin Makmur Gold di Wisma Makmur Gold, di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Sebagai tanda solidariti kepada perjuangan warga Palestin yang dizalimi rejim Zionis, Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) melancarkan ‘wafer’ emas edisi khas ‘Untukmu Palestin’ di sini, hari ini.

Wafer edisi terhad seberat satu gram itu dikeluarkan sebanyak 5,000 unit bagi edisi pertama yang mana semua hasil jualan akan diserahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care melalui Makmur Care untuk diagihkan kepada NGO berdaftar di Palestin.

Pengerusi Ko-Makmur, Hishammuddin Abdullah berkata, wafer emas itu boleh dibeli oleh ahli Ko-Makmur dan pelanggan mereka mulai esok di semua cawangan Makmur Gold di seluruh negara.

“Usaha ini adalah sebagai dedikasi kami yang sentiasa bersama (menyokong) warga Palestin dalam usaha membebaskan negara mereka daripada kekejaman rejim Zionis.

“Makmur Gold tidak mengambil keuntungan dalam penjualan wafer emas ini kerana kita sudah bersetuju bahawa 100 peratus hasil jualan akan disalurkan kepada Muslim Care dengan kerjasama Makmur Care untuk diserahkan kepada NGO (berdaftar) di sana (Palestin),”katanya selepas majlis pelancaran wafer emas berkenaan di Wisma Makmur Gold, dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood dan Setiausaha Ko-Makmur, Khairul Azam Awang.

Menurut Hishammuddin, setiap unit wafer emas itu dijual pada harga RM330 dan pihaknya mensasarkan dapat menjual kesemua wafer emas edisi khas tersebut dalam masa kira-kira seminggu.

Ditanya kemungkinan mengeluarkan ‘wafer’ emas sama bagi edisi kedua, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian dan bergantung kepada permintaan serta sambutan daripada ahli dan pelanggan mereka.

“Buat masa ini kita tumpukan kepada penjualan 5,000 unit bagi edisi pertama terlebih dahulu dan jika sambutan diterima daripada ahli dan orang ramai sangat baik, kita boleh pertimbangkan untuk memperkenalkan (wafer emas) edisi kedua,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menyifatkan kerjasama baik antara Makmur Care dan Muslim Care dalam pelbagai program sebelum ini membuka ruang untuk mereka meneruskan jalinan kerjasama itu bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Sebelum ini kita sudah bekerjasama dengan Muslim Care, banyak program kita anjurkan secara bersama sepanjang bulan Ramadan dan bantuan lain, jadi dari situ kita fikir untuk meneruskan (kerjasama) dengan projek ini,”ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI