fbpx

Sungai tidak diselenggara punca banjir di Bukit Rambai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Ali Mohamad menunjukkan Sungai Ayer Salak yang dipenuhi semak samun dan pohon kiambang di Kampung Bukit Datuk A, Bukit Rambai, Melaka. - AMRAN MULUP

MELAKA – Banjir teruk yang melanda enam taman perumahan dan empat buah kampung melibatkan hampir 5,000 penduduk di Bukit Rambai di sini dua hari lalu didakwa berpunca dari Sungai Ayer Salak yang tidak diselenggara dengan sempurna oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sungai tersebut dipenuhi semak-samun dan pokok kiambang sepanjang hampir satu kilometer sehingga menyekat aliran air.

Katanya, ia menyebabkan air sungai melimpah ke penempatan penduduk berhampiran lantas mengakibatkan banjir sehingga paras lutut kelmarin.

“Saya diberitahu penduduk Sungai Ayer Salak yang mendakwa sungai tersebut sudah hampir setahun tidak diselenggara oleh JPS sehingga ia dipenuhi semak samun.

“Bayangkan aliran sungai terhalang dan air melimpah biarpun hujan hanya selama beberapa jam. Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar rumah penduduk di Bukit Rambai dan kawasan sekitar dilanda banjir teruk,” katanya selepas membuat lawatan di Kampung Bukit Datuk A di sini hari ini.

Dalam pada itu, di kawasan Dewan Undangan Negeri Klebang, seramai 128 orang mangsa daripada 23 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai.

Bukit Rambai merupakan satu daripada kawasan yang terjejas teruk meliputi Taman Rambai Utama, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Indah, Kampung Bukit Rambai selain Kampung Ayer Salak dan Kampung Seberang Gajah.

Mohamad Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Klebang menambah, JPS perlu segera membersihkan sungai tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI