fbpx

Rasa marah diri diperdayakan – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir sebagai saksi bagi perbicaraan kes Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau marah kerana merasakan dirinya diperdayakan berhubung kandungan surat sokongan kontrak Kerja-kerja Operasi dan Penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Najib, 68, yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 dalam perbicaraan kes Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony berkata, ini kerana beliau merasakan ditipu apabila pihak UMS sebenarnya tidak pernah menyokong surat sokongan tersebut dan bertentangan dengan hasrat sebenar pihak universiti.

Ketika membaca pernyataan saksi, Najib berkata sekitar Ogos 2014, beliau yang ketika itu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Sulitnya pada masa itu iaitu Datuk Azlin Alias bahawa Peter ada menghantar surat permohonan untuk penyambungan kontrak.

Surat penyambungan kontrak bertarikh 9 Jun itu adalah bagi Kerja-kerja Operasi dan Penyelenggaraan Bagi Sistem Mekanikal dan Elektrikal di Bangunan Fasa 2B, Bangunan Dan Infra Di Kampus Induk FPL/Pusat Rawatan Warga Luar Sikuati, Kudat) Dan Bangunan lain Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tempoh lima tahun.

“Pihak universiti menyatakan pihaknya tiada halangan dan menyokong penuh kerjasama di antara ULink Property Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh UMS) dan Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. bagi melaksanakan kerja-kerja kontrak tersebut. Pihak universiti turut memohon kepada saya agar dapat memberi kelulusan terhadap ‘smart partnership’ ini,” katanya sambil mengesahkan surat tersebut.

Semasa prosiding ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin adakah beliau berasa sangsi apabila melihat tandatangan Timbalan Naib Canselor dalam surat sokongan tersebut, Najib berkata dia tidak sama sekali curiga.

Pada masa sama, Najib turut mengesahkan surat sokongan yang ditandatangi Timbalan Naib Canselor universiti itu yang tertulis ‘Bagi Pihak (BP)’.

Bagaimanapun Najib memaklumkan kepada mahkamah sekiranya beliau mengetahui surat sokongan daripada Timbalan Naib Canselor tanpa kebenaran Naib Canselor , beliau tidak akan ‘melayan’ (meluluskan) surat sokongan tersebut kerana ia bukan kebenaran rasmi daripada UMS.

Dalam prosiding itu, Peter diwakili peguam Datuk Munawar Kabir Mohd.  Zainal dan D. Senthinathan.

Perbicaraan bersambung lagi 26 dan 27 Julai ini bersambung lagi dihadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI