fbpx

Israel mahu serang terowong di Semenanjung Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih daripada setengah bekalan elektrik di Gaza telah dipotong selepas enam daripada 10 barisan kuasa elektrik musnah dalam serangan udara Israel. – AFP

TEL AVIV – Israel memberi amaran bahawa pihaknya akan memutuskan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza susulan pihak tenteranya kini bersiap sedia melancarkan lebih banyak serangan udara yang menyasarkan terowong bawah tanah di Palestin, lapor akhbar New York Times, semalam.

Menteri Perisikan Israel, Eli Cohen berkata, beliau memilih untuk memutuskan bekalan elektrik di Gaza selepas konflik terburuk dalam tempoh bertahun itu telah masuk hari ke sembilan.

“Saya rasa perkara seterusnya yang akan kami lakukan dan dibawa ke kabinet adalah untuk menyekat bekalan elektrik di Gaza,” ujarnya kepada stesen televisyen Israel, Channel 20.

Tambah Cohen, buat masa ini, tiada sebarang perbincangan mengenai gencatan senjata berlaku di kabinet.

“Meskipun desakan antarabangsa meningkat (untuk melaksanakan gencatan senjata), namun kami perlu bertindak demi penduduk Israel,” katanya.

Pada Ahad lepas, portal Guardian melaporkan bahawa lebih daripada setengah bekalan elektrik di Gaza telah dipotong selepas enam daripada 10 barisan kuasa elektrik musnah dalam serangan udara Israel.

“Terdapat beberapa kawasan berhampiran sempadan turut terputus bekalan elektrik,” ujar seorang jurucakap Gaza Electricity Distribution Co., Mohammed Thabet.

Sementara itu, seorang jurucakap Anggota Pertahanan Israel memberitahu Rejim Zionis kini merancang beberapa serangan udara terbaharu di beberapa lokasi jaringan terowong di Gaza.

Serangan bom itu dilaporkan akan menyasarkan dua bahagian terowong yang sebelum ini tidak musnah dalam serangan tentera Israel empat hari lepas.

Israel menuduh pejuang Hamas menggunakan terowong tersebut untuk memindahkan senjata dan melancarkan serangan ke atas negara haram itu. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI