fbpx

Tealive optimis capai 1,000 outlet menjelang tahun 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pemilik jenama teh gaya hidup Tealive, Loob Holding Sdn. Bhd. (Loob Holding) optimis untuk mencapai sasaran sehingga 1,000 cawa­ngan di seluruh negara menjelang tahun 2024, meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, keyakinan itu didorong oleh tahap kesetiaan jenama yang kukuh, fokus berte­rusan terhadap kemudahan pe­langgan dan strategi digital.

“Kami merancang untuk membuka antara 130 hingga 150 cawangan setiap tahun, terutamanya di Johor, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak.

“Melalui perancangan tersebut, syarikat berkeyakinan akan mencapai sasaran untuk memiliki sehingga 1,000 rangkaian dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Apabila wabak melanda, kami mengubah strategi dan melancarkan platform e-dagang bubble tea kami sendiri serta menjadi syarikat pertama yang memasarkan kit DIY (buat sendiri) bubble tea bagi memudahkan pelanggan.

“Kami turut memenangi pi­ngat emas bagi Anugerah e-Dagang Asia dan pingat perak bagi Anugerah Kecemerlangan Pemasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ­kenyataan bersempena pembukaan rangkaian ke-600 di di Taman Nusantara, Gelang Patah, Johor baru-baru ini.

Sempena pembukaan cawa­ngan tersebut, Tealive menawarkan 60 minuman percuma setiap hari selama enam hari bermula 20 Mei lalu.

Pelanggan Tealive di seluruh negara pula berpeluang memenangi beg tote edisi terhad Oxwhite x Tealive dan baucar tunai apabila mereka membeli minuman bermula dari 20 Mei hingga 25 Mei lalu

Tealive kini memiliki 650 cawangan di seluruh dunia de­ngan kehadiran di Australia, Brunei, Myanmar, Filipina, United Kingdom, Vietnam dan Kemboja.