fbpx

Geng curi motosikal tumpas dalam dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Kelicikan enam sekawan mencuri motosikal sejak sebulan lalu tumpas dalam tempoh dua jam sahaja apabila diberkas di Taman Bayu Tinggi, di sini kelmarin.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 41 tahun itu diberkas pukul 6 pagi selepas melakukan jenayah kira-kira pukul 4.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penangkapan mereka susulan laporan polis daripada seorang lelaki yang merupakan ejen penghantaran kenderaan pada Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan laporan sebuah motosikal jenis Honda RS 150 milik pelanggannya yang telah dikunci dan akan dihantar ke Kuching, Sarawak hilang di sebuah kondominium di Pelabuhan Klang.

“Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya berjaya menahan enam suspek dalam tempoh dua jam pada hari sama.

“Turut dirampas tiga buah motosikal masing-masing jenis Honda RS150, Yamaha FZ150i dan 125 selain enjin motosikal Kawasaki KR150, satu bungkusan komponen Yamaha 125z yang telah dileraikan dan peralatan melakukan jenayah curi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Shamsul Amar memberitahu, siasatan mendapati mereka baharu aktif sejak sebulan lalu dengan modus operandinya adalah seorang ahli kumpulan itu akan mencari motosikal terutamanya motosikal jenis Yamaha 125Z dan Honda EX5 yang tidak berkunci di bahagian pemegang.

Tambah beliau, sasaran mereka adalah dengan memfokuskan di hadapan kawasan hotel bajet.

“Suspek kemudiannya akan memanggil rakan-rakannya untuk melarikan motosikal yang dikenalpasti itu.

“Sebuah motosikal yang dicuri akan dijual di pasaran gelap pada harga antara RM900 hingga RM1,000,” katanya.

Kata beliau, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Semakan mendapati empat daripada suspek tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, dadah dan trafik.

“Kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan kini direman selama empat hari sehingga 13 Mei ini,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI