PENA yang digenggam kemas pada jari-jemarinya rancak menari mengikut susunan ayat yang sedang bermain di fikiran. Usai ayat-ayat tersebut dizahirkan pada sekeping kad raya bersaiz sederhana besar itu, Siti Nor Kasanabila Kamarulzaman, 32, termangu seketika.
Tidak semena-mena, perasaan sayu mula menjengah dalam diri. Mana tidaknya, itu merupakan tahun ketiga anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini beraya di ibu kota tanpa kehadiran keluarga di sisi.
Lebih sayu apabila mengenangkan Aidilfitri jatuh beberapa hari sebelum sambutan Hari Ibu. Biarpun jauh, namun ingatan anak kedua daripada lapan orang adik-beradik itu terhadap bonda tercinta, Sarah Omar, 59, tidak pernah pudar.
Menjadikan kad raya sebagai pengganti diri, menurut gadis yang senang dipanggil Kasa itu lagi, kiriman kad tersebut sekurang-kurangnya dapat mengubati kerinduan si ibu terhadap anaknya.
“Saya merupakan seorang yang sangat sentimental dan suka menghantar surat serta kad raya sejak dahulu lagi.
“Biarpun dengan kecanggihan teknologi hari ini yang mana pelbagai platform boleh digunakan untuk memberi ucapan Aidilfitri, namun saya lebih gemarkan kad raya kerana ia mempunyai sentuhan peribadi (personal touch),” katanya.

Bagi Azlul Wadzihah Zaghlol, 37, pula, kad raya dijadikan sebagai pengubat rindu kepada keluarga terutamanya ibu tercinta memandangkan dia kini menetap di Sydney, Australia.
“Sudah dua tahun saya tidak balik ke Malaysia. Pertama kali menerima kad daripada saya, emak sangat terkejut kerana masih ada lagi insan yang menghantar kad secara fizikal.
“Terubat juga rindu emak kepada saya apabila menerima kad raya daripada anak yang tinggal lebih kurang 7,000 kilometer daripadanya,” katanya.
Masih mengirimkan kad raya fizikal, menurut Azlul Wadzihah lagi, ia bukan sahaja dapat menyambung tradisi pemberian kad dalam mengeratkan silaturahim.
“Selain mengucapkan Selamat Hari Raya, saya akan bertanya khabar dan meluahkan perasaan rindu dan kasih di dalam kad tersebut. Ucapan itu biasanya akan diakhiri dengan salam kasih sayang daripada kami sekeluarga di perantauan,” kongsinya yang mendapatkan khidmat Kad Raya Valet untuk pengeposan kad raya fizikal yang turut disertakan kad raya digital.
Mengimbau kembali sekitar era 1980-an, kad raya merupakan antara penyeri Aidilfitri masyarakat Islam di negara ini. Selain sebagai tanda ingatan, kad raya turut dijadikan sebagai perhiasan rumah apabila ia digantung padaSemarakkan nostalgia tanpa abai teknologi dinding di ruang tamu.

Begitupun, kecanggihan teknologi hari ini yang memudahkan penghantaran ucapan Aidilfitri menyebabkan tradisi mengirim kad raya yang diamalkan sejak bertahun-tahun lalu hampir pupus.
Menyedari jurang antara teknologi masa kini dan tradisi serta kenangan masa lalu, Mohd. Adzmir Mohd Alwi, 34, tampil mewujudkan Kad Raya Valet yang mana mereka menyediakan perkhidmatan penghantaran kad raya bagi pihak pengirim terus kepada penerima.
Menerusi khidmat itu, pengirim hanya perlu membuat tempahan kad berserta ucapan melalui webstore pihaknya dan pihak Kad Raya Valet akan memproses tempahan bermula daripada cetakan kad beserta ucapan, pengurusan setem sehinggalah kepada pengeposan melalui Pos Malaysia.
Menariknya, setiap pembelian kad cetak turut disertakan kad raya digital yang dilengkapi lagu secara percuma. Bukan itu sahaja, kad raya digital itu turut dilengkapi dengan fungsi rakaman audio dan video ucapan daripada individu itu sendiri.
Daripada situ, pengirim akan menerima pautan untuk membuat rakaman audio atau video ucapan setelah membuat tempahan dan ucapan akan dihantar secara automatik melalui sistem kami kepada penerima menerusi aplikasi WhatsApp ataupun khidmat pesanan ringkas.
“Kehadiran teknologi serta kekangan masa dek kesibukan aktiviti harian membataskan orang ramai untuk terus mengamalkan tradisi kiriman kad raya.
“Tidak semua orang mempunyai masa untuk ke pejabat pos bagi membeli setem dan mengirim kad raya kepada keluarga dan kawan-kawan. Selain itu, atas sebab permintaan yang tidak menggalakkan, kad-kad sedia ada yang berada di pasaran sangat terhad dan kurang kepelbagaian rekaan.
“Justeru, kami hadir dengan konsep ‘valet’ yang mana berfungsi sebagai pihak ketiga dan pengantara yang menguruskan kiriman kad melalui tempahan dalam talian sehinggalah sampai kepada penerima sebagai kad raya bercetak,” jelasnya.
Ditubuhkan pada tahun 2018 menurut pemuda yang berasal dari Temerloh, Pahang itu lagi, matlamat utama mereka adalah untuk memudahkan proses penghantaran kad raya dengan manfaat teknologi digital dan mengekalkan tradisi penghantaran kad raya fizikal.

Menariknya, setiap kad raya fizikal itu turut disertakan kod QR bagi membolehkan penerima mengimbas dan seterusnya mendengar atau menonton audio mahupun video yang dikirimkan dalam bentuk digital.
“Sejak kami menjalankan perniagaan ini, banyak maklum balas daripada pelanggan berasa seronok kerana dapat mengembalikan nostalgia musim perayaan sewaktu zaman kecil. Ini merupakan niat utama kami dalam memastikan tradisi perayaan kita terpelihara serta kembali dirasai terutama buat anak-anak generasi baharu.
“Secara peribadi, banyak kiriman kad raya yang beremosi membuatkan kami turut tersentuh setiap tahun. Situasi itu menyebabkan kami rasa platform Kad Raya Valet ini telah menjadi satu penghubung yang memberi manfaat kepada pelanggan dan kami yakin masih ramai yang merindui tradisi ini.
“Bagi kami, kad raya merupakan medium penghubung dua individu sama ada yang jauh atau dekat, selain sebagai tanda ingatan sesama mereka. Tambahan pula pada musim pandemik ini apabila masing-masing mempunyai kekangan untuk ziarah menziarahi dan pulang ke kampung,” ujarnya.
Biarpun buat masa ini mereka hanya menggunakan template sedia ada bagi rekaan kad, namun Kad Raya Valet mempunyai lebih 100 reka bentuk yang akan ditambah dari tahun ke tahun.
Bukan sekadar reka bentuk bertemakan sambutan Syawal, Kad Raya Valet turut menyediakan corak tambahan ‘Balik Kampung Series’ yang mana ia terdiri daripada tema negeri-negeri di Malaysia.
Bercerita lanjut mengenai proses penghasilan Kad Raya Valet menurut Mohd. Adzmir, kad tersebut ditempah pengguna melalui sebuah webstore pihaknya dan setiap tempahan yang diterima akan disimpan di pangkalan data serta e-mel.
Daripada situ, pihak Kad Raya Valet akan membuat semakan dan kemudian dihantar untuk cetakan. Cetakan yang telah siap akan disemak dari segi kualiti, maklumat cetakan dan kod QR yang dicetak, sebelum ia kemudian sedia untuk dihantar kepada penerima.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan bertambah dari tahun ke tahun. Sejak tiga tahun ditubuhkan, tempahan kad bercetak sudah menjangkau 10,000 unit tidak termasuk kiriman kad digital.
“Kad raya valet turut menerima tempahan daripada pelanggan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara seperti Jepun, New Zealand, Australia, United Kingdom dan Jerman. Pelanggan dari
Malaysia turut mengirimkan kad raya kepada penerima di luar negara seperti Singapura, Brunei, Jepun dan Australia,” tuturnya.
Tidak hanya memfokuskan kad raya, terang Mohd. Adzmir, mereka turut mempunyai cabang perniagaan lain yang memfokuskan kad perkahwinan dinamakan @kadresepsidigital.














