fbpx

Kastam Johor rampas arak seludup RM1.39 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara minuman keras yang dirampas JKDM Johor dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru, Johor dan Selangor, minggu lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya merampas minuman keras tidak bercukai bernilai RM1.39 juta menerusi tiga serbuan berasingan di Johor dan Selangor yang dijalankan pada 26 dan 30 April lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, kes pertama melibatkan satu pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, pada 26 April lalu.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, anggota penguat kuasa menemui sebanyak 24,200 botol minuman keras bersamaan 8,712 liter tidak bercukai dengan rampasan keseluruhan bernilai RM401,845.11.

“Bagi kes kedua, JKDM Johor telah menyerbu sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah di sini yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 7,404 botol minuman keras yang bersamaan 5,178 liter yang disembunyikan di dalam premis dengan nilai rampasan sebanyak RM815,841.18 ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Sazali, kes ketiga pula membabitkan satu serbuan yang dijalankan pihaknya di sebuah gudang pembekal barang makanan di Seksyen U5, Shah Alam, Selangor, pada 30 April lalu.

“Gudang berkenaan dijadikan tempat menyimpan 28,320 botol yang bersamaan 9,346 liter minuman keras tidak bercukai yang disimpan di dalam sebuah treler dan sebuah kontena dengan nilai rampasan keseluruhan RM174,762.72.

“Usaha untuk mengesan suspek yang terlibat dalam ketiga-tiga operasi berkenaan sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Katanya lagi, ketiga-tiga kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 135(1(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“JKDM juga menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam yang terdekat,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI