fbpx

Rezeki terpijak buat pencari buluh lemang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tajudin Asak menyusun buluh lemang yang dicari sebelum ia dijual kepada peraih di Kampung Tohor, Jelebu semalam. /FOTO MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

JELEBU – Tiba bulan Ramadan, ia pasti membuka jalan rezeki kepada pencari buluh lemang bagi empat buah perkampungan orang Asli di Chennah, dekat sini.

Salah seorang daripada mereka, Tajudin Asak, 42, berkata, dia telah menerima tempahan untuk mendapatkan buluh dengan permintaan yang disifatkannya sebagai luar biasa sejak awal bulan Ramadan lalu.

Jelasnya, buluh lemang jenis buluh telur antara yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peraih.

“Seawal pukul 7 pagi hingga 4 petang setiap hari saya keluar untuk mencari buluh lemang yang berkualiti. Saya akan pastikan menerima tempahan terlebih dahulu daripada peraih bagi mengelakkan buluh tersebut rosak dan menjadi kekuningan.

“Saya mampu mencari sebanyak 2,000 batang sehari dan kadang-kala boleh mencecah 3,000 batang jika ada permintaan daripada peraih. Harga yang dijual paling murah adalah 50 sen bagi setiap sebatang buluh,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Perkampungan Orang Asli Kampung Tohor, di sini semalam.

Tajudin berkata, dia sudah menjadi pencari buluh lemang sejak 30 tahun lalu dan mampu mendapat sebanyak RM2,000 sebulan untuk tugasnya itu.

Seorang lagi pencari buluh, Rashidah Angak, 39, pula berkata, walaupun kebanyakan pencari buluh lemang adalah lelaki namun dia tidak mempunyai masalah untuk melakukan tugasan itu demi mencari rezeki.

“Saya sudah biasa memotong buluh-buluh ini jadi tiada masalah untuk membantu keluarga. Saya belajar menggergaji buluh lemang ini melalui suami saya. Setiap kali bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri saya mampu memperoleh sebanyak RM1,200 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, Kampung Chennah merupakan pengeluar buluh lemang terbesar bagi daerah Jelebu.

“Bermula awal bulan Ramadan memang penduduk di sini tidak menang tangan menerima tempahan buluh lemang daripada peraih. Kebanyakan peraih membeli sebanyak 3,000 lemang sehari, ada yang dijual di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain di seluruh negara.

“Sebelum ini, perkampungan orang Asli di sini memang menjadi ‘port’ peraih mendapatkan produk sayur kampung untuk dijual di bandar-bandar besar namun kedatangan Ramadan memberi pendapatan luar biasa kepada penduduk Orang Asli di sini dan setakat ini buluh lemang mencukupi untuk memenuhi permintaan,” ujarnya.

Menurutnya terdapat empat buah Perkampungan orang Asli yang menjadi rebutan peraih untuk mendapatkan buluh lemang iaitu di Kampung Tohor, Kampung Dusun Kubur, Kampung Jeram Lesong dan Kampung Bertam. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI