REMBAU – Seorang pereka grafik bebas tidak menyangka aktiviti tahunan menjual buluh lemang masih menjadi lubuk duit buat dirinya apabila terus mendapat sambutan orang ramai yang mencari barangan persiapan raya ketika pulang ke kampung.
Abdul Rahim Abdul Karim, 29, berkata, dia menjual buluh lemang di tepi Jalan Seremban-Tampin di sini setiap kali menjelang Aidilfitri dan Aidiladha sejak 12 tahun lalu.
Katanya, setakat ini dia telah menjual lebih 300 batang buluh lemang pada harga antara RM2 hingga RM2.50 setiap satu.
“Saya bersama bapa dan seorang lagi rakan perniagaan akan mula mencari buluh di dalam hutan seawal hari ke-15 Ramadan bagi memastikan lebih banyak buluh dapat dijual.
“Kami mencarinya jauh ke dalam hutan dan terpaksa menariknya pada jarak 400 meter untuk dimasukkan ke dalam lori. Antara tips yang perlu ada pada buluh lemang ialah tidak tua dan terlalu muda selain mengetahui ketebalannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Abdul Rahim, pelanggan gemar buluh yang kurang tebal bagi memastikan lemang mereka cepat masak dan ruas buluh yang baik adalah sekitar setengah meter.
Tambahnya, jualan buluh berkenaan sudah pun dibuat sejak Sabtu lalu kerana mereka lebih menumpukan kepada pelanggan yang pulang ke kampung bagi mencari barangan persiapan raya berbanding penduduk yang biasanya gemar mencari sendiri buluh lemang.
“Sejak Sabtu, kira-kira 300 batang buluh lemang berharga antara RM2 hingga RM2.50 telah terjual. Kini, kita ada baki sekitar 700 batang buluh lagi untuk dijual sehingga Rabu ini,” katanya.














