fbpx

Ikan ‘longkang’ jadi lubuk duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang jemaah Surau Raudhah Al-Faiziin memberi makan anak ikan tilapia yang diternak di dalam longkang di Kuantan semalam.

KUANTAN – Jawatan Kuasa Surau Radhah Al-Faiziin, Taman Beserah Ria di sini bertindak kreatif apabila memanfaatkan longkang surau berkenaan de­ngan mengubah suai menjadi kolam ternakan ikan sejak awal April lalu.

Pengerusinya, Nazaruddin Mahmud, 60, berkata, sebahagian longkang surau sepanjang 50 meter dengan kedalaman 1.5 meter itu diubah suai untuk me­nempatkan kira-kira 1,200 benih ikan tilapia untuk permulaan.

“Sejak surau ini dibina, longkang di sini tidak pernah ada air kecuali pada hari hujan jadi kami ubahnya menjadi kolam ternakan ikan supaya dapat menda­tangkan hasil.

“Kita juga bercadang untuk menambahkan lagi panjang ‘longkang ikan’ ini sehingga 100 meter pada masa akan datang selain menambah 1,000 lagi benih ikan tilapia dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Nazaruddin, semua keperluan untuk membina longkang ikan itu termasuk benih ikan tilapia dan makanan ikan adalah hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk khairiah surau sendiri.

Katanya, usaha surau terbabit turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Alam Flora yang turut menyumbang bagi menjayakan projek berkenaan.

“Sebelum ternak ikan dalam longkang, kami telah mengusahakan tanaman sayur-sayuran di sekitar kawasan surau sejak awal tahun lalu,” katanya.

Ujar Nazaruddin, pada awalnya, mereka hanya mahu melestarikan kawasan surau dengan memanfaatkan sumber air bukit yang sentiasa mengalir di tepi surau tersebut.

“Kini terdapat kira-kira 150 pokok lada salak selain 30 pokok cili padi dan cili jambak. Sebelum ini, kami pernah menanam te­rung, timun, bendi dan kangkung malah sudah menuai hasilnya,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI