fbpx

53 peniaga dikompaun gagal patuh harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fat Full (dua kanan) meninjau harga barang kawalan di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 53 peniaga telah dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM7,550 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, tindakan kompaun itu diambil selepas kira-kira 200 penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan 2,105 pemeriksaan di seluruh negeri.

Katanya, jumlah tersebut meliputi 2,058 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 47 pemeriksaan di peringkat pemborong di seluruh Johor.

“Sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa 202 ini dikuat kuasakan, seramai 36 peniaga dikompaun kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

“Sebanyak 12 kes lagi melibatkan kesalahan gagal mematuhi Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan.

“Manakala lima peniaga lagi diambil tindakan kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang kawalan di Pasar Borong Pandan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro.

Pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 adalah secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan 10 jenis barang yang dikuat kuasakan sejak 21 April hingga 20 Mei ini yang melibatkan empat kategori barangan iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut.

Fat Full berkata, KPDNHEP Johor bukan suka-suka mengeluarkan kompaun dan hanya akan berbuat demikian selepas kesalahan masih dilakukan peniaga setelah peringatan diberikan.

Jelasnya, ada peniaga yang tidak tahu barang apa yang perlu letak tanda harga berwarna merah jambu.

“Ada juga aduan yang kita terima daripada peruncit mengatakan mereka mendapat harga yang tinggi daripada pemborong. Jadi, kita akan cek keseluruhan rantaian perniagaan itu sehinggalah ke pengeluar untuk tahu di mana masalahnya,” jelasnya.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI