fbpx
Vidyananthan

12 hospital Hibrid Covid di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 12 hospital negeri ini beroperasi sebagai hospital Hibrid Covid bagi menampung keperluan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan berlaku sejak April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, hospital Hibrid Covid-19 terbabit khusus bagi memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

“Berdasarkan statistik terkini, seramai 49 orang pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital di negeri ini dan 39 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Kapasiti penggunaan katil ICU khusus Covid-19 meningkat sebanyak 114 peratus berbanding hanya 43 katil dikhususkan bagi Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri berdepan kekangan untuk pembukaan lebih banyak bilangan katil ICU Covid-19 berikutan sumber manusia yang terhad.

Katanya, bilangan pesakit kritikal bukan Covid-19 dilaporkan agak tinggi di mana mereka turut memerlukan rawatan rapi di ICU pada masa yang sama.

Dalam pada itu, beliau berkata, berlaku peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan di kalangan warga sekolah, melibatkan guru dan pelajar sejak kebelakangan ini.

“Kebanyakan kes berpunca daripada penularan di dalam rumah ekoran aktiviti sosial keluarga, di mana ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul.

“Kebanyakannya tidak mematuhi prosuder operasi standard ( SOP) dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat.

“Masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah yang lain secara berkumpulan,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN