fbpx

Zakat Pulau Pinang agih RM7.3 juta kepada 24,072 penerima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amran Hazali (dua dari kanan) selepas mengumumkan pemberian Saguhati Nur Ramadan dan Saguhati Hari Raya Aidilfitri kepada Asnaf Fakir dan Miskin di ibu pejabat ZPP di Bandar Perda, Bukit Mertajam, hari ini

SEBERANG PERAI – Seramai 24,072 penerima yang terdiri daripada kalangan asnaf fakir dan miskin di negeri ini dijangka menerima manfaat hasil daripada agihan Saguhati Nur Ramadan dan Saguhati Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM7,316,100 pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM3,050,800 dana di bawah Saguhati Nur Ramadan telah diagihkan kepada seramai 14,644 penerima.

“Pada masa yang sama, seramai 9,428 penerima lagi memperoleh agihan berjumlah RM4,265,300 di bawah peruntukan saguhati untuk Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman agihan itu di ibu pejabat ZPP di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Turut berlangsung pada majlis yang sama ialah penyerahan zakat perniagaan 2020 oleh Maybank Islamic yang berjumlah RM209,519.81.

Dalam pada itu, Amran berkata, pihaknya mengutip RM28.2 juta zakat harta sehingga 31 Mac lalu dengan peningkatan sebanyak RM9.96 juta atau 54.4 peratus berbanding RM18.3 juta tahun lepas.

Katanya, jumlah bilangan pembayar zakat terkumpul setakat ini pula adalah seramai 59,482 orang iaitu pertambahan sebanyak 5,792 orang berbanding 53,690 pada tahun lalu dan sebanyak RM11.9 juta hasil kutipan zakat itu diperolehi melalui potongan gaji iaitu sebanyak 42.2 peratus.

“Secara keseluruhannya, ZPP telah membuat kutipan sebanyak RM28,775,466.45 pada tahun 2021 (sehingga 31 Mac) yang meliputi zakat serta semua jenis penerimaan.

“Jumlah agihan zakat adalah sebanyak RM28,956,137 dengan jumlah penerima seramai 6,997 orang manakala peratusan agihan sehingga 31 Mac lalu pula melebihi 2.3 peratus berbanding jumlah kutipan semasa,” ujar beliau.

Tambah Amran, berlaku peningkatan sebanyak RM1,663,742.59 agihan zakat secara keseluruhan berbanding hanya RM27,292,394.41 bagi tempoh yang sama tahun lepas ketika jumlah penerima juga menyusut sebanyak 3,878 orang berbanding seramai 10,875 penerima sebelum ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI