fbpx

Kurma penerus legasi Andalusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PANDEMIK Covid-19 memberi impak yang terlalu besar kepada sektor pelancongan dan juga kepada perniagaan menguruskan umrah dan ziarah. Tidak terkecuali dalam menghadapi cabaran tersebut adalah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel)

Kurang setahun lalu, syarikat ini menjangkakan bakal menguruskan sekurang-kurangnya 40,000 jemaah umrah bagi tahun 1442 Hijrah (tahun semasa), ketika wabak dilihat beransur pulih pada Julai tahun lalu.

Melihat kepada persekitaran yang sukar kini, Andalusia tidak boleh menunggu tanpa membuat sebarang perancangan untuk meneruskan kelangsungan syarikat dengan mencari saluran pendapatan baharu.

Berdasarkan pengalamannya yang lalu, syarikat telah memilih untuk menceburi perniagaan makanan dengan membawa masuk kurma dari Asia Barat.

Wartawan Kosmo! IKhwan Ideris berpeluang menemu bual Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours, Ida Riswana Idris di ibu pejabatnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini yang bercerita tentang bisnes baharunya membantu memastikan kesinambungan syarikat dalam menghadapi fasa mencabar kini.

Kosmo!: Boleh ceritakan bagaimana pandemik mempengaruhi operasi syarikat?

Ida Riswana: Sebelum Co­vid-19, kami ada 293 kakitangan bergaji tetap, tidak termasuk mutawif yang bekerja berasaskan kontrak seramai 200 orang dan sekitar 50 lagi pegawai di Mekah serta Madinah yang juga bekerja mengikut musim.
Apabila Arab Saudi menutup akses umrah akibat pandemik pada 27 Februari 2020, kami masih berharap ibadah haji tetap diteruskan dan umrah akan dibuka pada hujung tahun, jadi kami cuba bertahan manakala semua kakitangan tetap menerima gaji penuh sehinggalah bulan Ogos lalu.
Selepas itu kami terpaksa melepaskan kakitangan yang be­kerja kurang dua tahun dan yang lain diberi cuti tanpa gaji, namun tetap menerima faedah dan perlindungan daripada syarikat. Hanya 93 orang masih bekerja dan menerima gaji penuh sehingga hari ini.
Dengan perniagaan kurma mula berjalan, kami ada mengambil pekerja sambilan, terutama­nya dalam kalangan suri rumah dan komuniti setempat.

Bagaimana bisnes kurma ini bermula?
Setelah sempadan negara ditutup untuk kebanyakan rakyat tidak boleh keluar, kami cuba mencari apa produk serta per­khidmatan yang boleh dibawa masuk dan kurma dikenal pasti sebagai antara yang paling sesuai.

Sebelum ini di bawah Andalusia Group of Companies, kami memiliki sebuah syarikat, Andalusia Cruise & Event Management Sdn. Bhd. yang terlibat dalam perniagaan cruise. Pada Januari lalu nama syarikat itu telah ditukar kepada Andalusia Food Industries Sdn. Bhd.

Pada 9 Februari lalu, di bawah syarikat ini, kami mula menjual kurma secara rasmi yang terdiri daripada tiga jenis kurma Ajwa mengikut gred yang diimport dari Madinah selain kurma lain seperti Medjool, Ambar dan Safawi.

Adakah ia mendapat sam­butan yang baik?
Sambutan memang di luar jangkaan, kami mengunjurkan jualan 30 tan kurma tahun ini dan buat masa ini, kami berjaya menjual hampir 60 tan kurma sejak Februari.

Lebih 90 peratus daripada­nya ialah kurma Ajwa gred sederhana yang dijual pada harga RM60 sekilogram (kg) paling mendapat sambutan. Harga ini sebenarnya lebih murah daripada harga jualan di Mekah dan Madinah sendiri, yang biasanya sekitar 80 riyal (RM87). Mungkin sekarang buah murah kerana di sana pun tidak banyak orang luar.

Jadi untuk mengekalkan harga, kami memang ada membina stok. Kini kami memiliki lebih kurang 70 tan kurma dalam simpanan di bilik simpanan sejuk syarikat iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu lagi di Bangi, Sela­ngor. Kami akan membangunkan satu lagi bilik sejuk di Nilai, Ne­geri Sembilan

Apa strategi jualan syarikat sehingga berjaya mencapai ­prestasi sebegini?
Jualan kami datang daripada 718 orang dropship, 218 ejen dan 89 stokis yang ada sekarang. Ejen dan stokis ini memang sudah berpengalaman dalam perniagaan, jadi fokus kami sekarang adalah untuk memperkukuhkan dropship.

Saya mahu menambah jumlah dropship supaya lebih ramai boleh turut terlibat dan berkongsi rezeki daripada bisnes ini. Mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang modal pun. Ini mungkin boleh menjadi salah satu daripada bentuk sumba­ngan Andalusia kepada komuniti.

Bagaimana agaknya prestasi perniagaan ini selepas Ra­madan dan Aidilfitri nanti?
Saya berpandangan perniagaan ini boleh pergi lebih jauh lagi. Tak salah makan kurma bukan pada bulan Ramadan.
Rakyat kita ke Mekah sepanjang tahun dan saya lihat orang Malaysia memang suka beli kurma di sana tak kira bulan apa pun dan ia kemudiannya akan dipos pulang ke sini. Produk kurma pun sudah dipelbagaikan, ada orang keluarkan mufin, susu dan kek kurma.

Makan kurma juga bagus untuk kesihatan. Lepas Ramadan kami akan mula menggiatkan promosi kurma sebagai makanan harian, macam buah biasa untuk dijadikan sebahagian daripada sajian dan diet harian. Tagline Andalusia Food Industries ialah ‘Lengkapkan hari anda dengan kurma yang dirindui.’

Kami juga sedang melakukan kajian dan pembangunan untuk mengeluarkan produk berasaskan kurma pada masa depan, antara jenis produk yang dilihat berpotensi ialah susu kurma dan pes kurma.

Menuju ke hadapan, saya mengunjurkan Andalusia Food Industries mampu menyumbang sekitar 30 peratus daripada ke­seluruhan pendapatan Kumpulan, meskipun ketika sempadan antarabangsa telah dibuka sepenuhnya dan aktiviti umrah serta ziarah rancak berjalan.

Namun buat masa ini, bisnes kurma inilah satu-satunya sumber pendapatan kami untuk ke­langsungan syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI