fbpx

DRB-HICOM catat perolehan RM3.51 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) mencatat peningkatan perolehan sebanyak 28 peratus tahun ke tahun bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2021 (S1) kepada RM3.51 bilion berbanding RM2.74 bilion tempoh yang sama sebelumnya.

Prestasi meningkat ini disumbangan oleh permintaan kenderaan yang bertambah disokong oleh keputusan kewangan yang lebih baik daripada anak syarikat dan daripada hasil lebih tinggi daripada syarikat usaha sama  bersekutu Kumpulan.

Faktor tersebut telah membantu Kumpulan mencatat keuntungan pra cukai sebanyak RM36.3 juta untuk tempoh tersebut, berbanding kerugian RM185.3 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Menurut DRB-HICOM, sektor automotif sekali lagi memacu prestasi yang mana faktor pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan penumpang yang dilanjutkan sehingga Jun 2021 telah membantu jenama automotif Kumpulan memperoleh pendapatan bernilai RM2.58 bilion untuk S1 (S1 2020: RM1.81 bilion).

“Jenama automotif di bawah Kumpulan seperti  Proton, Honda, Mitsubishi, Volkswagen dan Isuzu mempamerkan prestasi jualan yang lebih baik untuk bulan Mac berbanding Februari 2021. 

“Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan pengeluar kereta nasional, PROTON berjaya menjual 32,420 unit bagi S1, mengekalkannya pada tempat kedua dalam carta jualan kenderaan nasional. 

“Honda pula mengekalkan statusnya sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu dengan jualan sebanyak 14,771 unit untuk suku tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu, bagi sektor perkhidmatan, perolehan yang dicatat bernilai RM863.7 juta (S12020:RM830.5 juta), sekali lagi didorong oleh prestasi pos dan logistik serta anak syarikat perbankan.

Sektor Hartanah pula mencatat pendapatan bernilai RM69.7 juta (S12020: RM93.3 juta), berdasarkan hasil pengebilan yang lebih rendah akibat pengurangan aktiviti pembinaan yang mempengaruhi jumlah pendapatan.

 Ini juga merupakan suku pertama DRB-HICOM setelah meninggalkan sektor perhotelan secara rasminya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI