fbpx
Gambar hiasan

Ramadan bulan keinsafan, bukan membazir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIAM tak diam, sudah lebih dua minggu umat Islam menyambut kedatangan penghulu segala bulan, Ramadan dan tidak lama lagi ia akan meninggalkan kita.

Berpuasa di bulan Ramadan diwajibkan oleh Allah ke atas umat Islam antara lain bertujuan bagi membentuk sahsiah diri dan tidak bersikap mementingkan diri selain menginsafi dengan kehidupan insan yang serba kekurangan.

Ketika berpuasa, barulah kita tahu betapa peritnya hidup sebagai insan miskin yang terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli walau sebuku roti.

Dalam semangat menginsafi kekurangan insan tidak bernasib baik itu, masih ada dalam kalangan kita yang gagal menghayati pengertian Ramadan dengan terus membazir ketika berbuka puasa.

Ini dapat dilihat apabila ramai dalam kalangan kita yang mampu menghadiri bufet Ramadan di hotel atau restoran ternama di negara ini bersikap tamak dan gelojoh hingga membazir makanan.

Biarpun, perkara itu diberi perhatian dan peringatan saban tahun, tetapi masih berlaku dan berleluasa seolah-olah semangat dan ruh Ramadan tidak terkesan dalam hati sanubari masing-masing.

Apa yang lebih mengejutkan, terdapat juga dalam kalangan umat Islam berebut-rebut dan enggan beratur untuk dapatkan makanan ketika di bufet Ramadan.

Mereka sering mengambil makanan dengan banyak ketika di hidangan bufet, tidak mahu beratur tetapi akhirnya tidak mampu menghabiskan makanan tersebut kerana terlalu kenyang.

Hal yang sama turut berlaku di rumah sesetengah umat Islam apabila kaum wanita terutama ibu-ibu yang memasak lauk-pauk yang banyak hingga penuh satu meja walhal ahli keluarga tidak ramai.

Begitu juga halnya kepada mereka yang mengunjungi bazar Ramadan saban hari.

Berbelanjalah mengikut keperluan dan bukan dikudakan nafsu hingga kalau boleh, seluruh bazar ingin dibeli.

Memanglah ketika lapar, perasaan teringin hadir ketika melihat makanan yang dijual hingga tak cukup tangan memegang plastik lauk. Sudahnya hampir separuh tidak dijamah ketika berbuka dan terbuang begitu sahaja.

Tahukah kita ramai lagi umat Islam di negara yang bergolak seperti Syria tiada makanan untuk disediakan kepada keluarga ketika berbuka, apatah lagi untuk hidangan pada hari-hari biasa sebelum dan selepas Ramadan.

Pendek kata kebanyakan mereka berlapar sepanjang hari, sedangkan kita bermewah-mewah dengan makanan dan tanpa berasa bersalah membuang makanan yang masih elok ke dalam tong sampah kerana teramat kenyang selepas berbuka puasa.

Ingatlah rezeki yang diberikan oleh Allah bukan untuk dibazirkan begitu sahaja. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang suka membazir.