fbpx

TLDM gagalkan percubaan menyeludup PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Semua lapan PATI yang ditahan cuba masuk ke Malaysia dibawa ke Jeti Marina, Tanjung Pengelih, Johor, untuk tindakan lanjut.- Foto IHSAN TLDM

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan percubaan sebuah bot menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) di Teluk Ramunia, Johor awal pagi tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Pemerintahan Armada Barat TLDM di sini malam ini, Kapal Diraja (KD) Perdana mengesan sebuah bot dari negara jiran dengan muatan seramai 8 orang PATI kira-kira pukul 1 pagi.

“Hasil maklumat dari radar SWASLA Maritim Malaysia, KD Perdana yang sedang melaksanakan Operasi Benteng Laut di perairan Johor Timur telah mengatur gerak bot-bot pemintas iaitu Bot Tempur 102 (FCB 102) dan RHIB Cerdik untuk memintas bot yang disyaki tersebut.

“Bot yang disyaki tersebut telah berjaya ditahan oleh FCB 102 pada jam 2.50 pagi,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati seramai tujuh PATI dan seorang tekong laut membuat percubaan memasuki Malaysia secara haram melalui pintu yang tidak diwartakan.

Jelasnya, kesemua individu yang ditangkap gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dengan menaiki sebuah bot tanpa permit dan dokumen yang sah.

Menurut kenyataan itu, koordinasi dalam operasi bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi bermula dari pengesanan awal oleh radar Maritim Malaysia dan penahanan PATI oleh TLDM seterusnya membuahkan hasil dengan kejayaan penangkapan semua PATI tersebut.

Katanya, kesemua PATI serta tekong laut dibawa ke Jeti Marina, Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada Tim Op Merpati 1 Tentera Darat Malaysia untuk proses penahanan selanjutnya manakala pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan melaksanakan saringan Covid-19 sebelum tindakan susulan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kesepaduan ketiga-tiga komponen darat, maritim dan udara dalam Ops Benteng telah berjaya membuahkan hasil kejayaan serta memperkasa sempadan perairan negara.

“ATM tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

“TLDM juga akan sentiasa memperkasa kesiagaan aset-aset Ops Benteng Laut demi menjaga perairan dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI