KUALA LUMPUR – Pereka grafik dan kartunis kontroversi, Fahmi Reza dibenar reman satu hari selepas ditahan atas dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tindakan reman itu dikenakan selepas mendapat kebenaran pihak majistret.
“Majistret telah benarkan reman selama sehari sahaja iaitu 24 April (hari ini) ke atas Fahmi Reza.
“Ia adalah bertujuan untuk membantu siasatan berhubung kenyataan yang mempunyai unsur penghinaan terhadap institusi Diraja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang penahanan Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd. Zarin di sekitar ibu negara oleh sepasukan polis dari JSJ Bukit Aman.
Penahanan tersebut dibuat susulan laporan polis yang dibuat berkait satu muat naik di akaun Facebook miliknya yang didakwa menghina Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Siasatan kes dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-K! ONLINE