fbpx

Tidak sesuai bina pasar borong di RTC Gopeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi

IPOH – Cadangan agar dibina sebuah pasar borong baharu di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng untuk memindahkan peniaga-peniaga Melayu dari Pasar Borong Ipoh yang terletak di Kawasan Perindustrian Mengglembu ke sana tidak sesuai kerana lokasinya yang jauh.

Selain itu, RTC Gopeng juga berada di luar kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kerana lokasinya adalah di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kampar.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sebarang keputusan untuk membina pasar borong baharu perlulah dibuat kajian terlebih dahulu bagi melihat kesesuaian serta kesan pelaksanaannya nanti.

Menurut beliau, MBI pada dasarnya menerima cadangan yang dikemukakan beberapa persatuan peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar membina sebuah pasar borong baharu untuk menempatkan peniaga-peniaga Melayu yang jumlahnya kecil di Pasar Borong Ipoh.

“Buat masa ini kita terima dulu cadangan itu tetapi kita kena kaji juga sebab dan kesan untuk pindahkan peniaga-peniaga (Melayu) ini yang jumlahnya kecil di Pasar Borong Ipoh dan tempatkan di pasar borong baharu.

“Cadangan RTC Gopeng jadi pasar borong baharu tak boleh sebab tak sesuai. Tak semua penduduk Ipoh nak ke sana, begitu juga pada peniaga misalnya mereka yang berniaga ikan di Buntong, pekan Ipoh dan kawasan sekitarnya sebab jauh.

“Lokasinya pula di Simpang Pulai terletak dalam kawasan pihak berkuasa tempatan Kampar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan persatuan peniaga Pasar Borong Ipoh bersama agensi-agensi penguat kuasa di Dewan Mesyuarat MBI di sini.

Pasar Borong Ipoh yang terletak di Kawasan Perusahaan Mengglembu menempatkan 298 peniaga meliputi 13 jenis perniagaan dengan pecahan terdiri daripada 226 peniaga Cina, Melayu (58), India (12) dan lain-lain (2).

Cadangan agar dibina pasar borong baharu adalah bagi mengimbangi komposisi peniaga-peniaga di Pasar Borong Ipoh selain memberi peluang kepada lebih ramai peniaga Melayu diberikan lesen berniaga di pasar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI